Culik untuk wang tebusan – Polis Sabah

Kes-Penculikan-terbaru-di-Sabah.jpg

KOTA KINABALU: Kes culik dua nelayan warga Indonesia yang bertugas di atas kapal nelayan tempatan di perairan Semporna, awal pagi tadi, dipercayai didalangi oleh ahli kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR).

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, mengesahkan dua mangsa itu, juragan Samsul Saguni, 40 dan pembantunya, Usman Yunus, 35, diculik antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

“Kami percaya penculik itu ada kaitan dengan kumpulan KFR dan kita sedang teliti perkara ini termasuk sama ada ia berkaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

“Ketika kejadian, keadaan gelap dan dua suspek dilihat memakai topeng muka serta berpakaian gelap.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai membawa senjata api M16 berdasarkan keterangan yang diberikan seorang lagi nelayan yang terselamat kerana bersembunyi ketika kejadian itu,” katanya sambil menambah mereka semua adalah nelayan warga Indonesia yang juga pemegang pasport yang sah.

Omar berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui dalam majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Wisma Muis, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Omar berkata, ketika kejadian seramai empat nelayan berada di dalam kapal nelayan sebelum didatangi suspek namun dua daripada mereka sempat menyembunyikan diri.

Katanya, nelayan yang terselamat berkata tiada tembakan dilepaskan dan penculik melarikan diri bersama mangsa dengan menaiki bot ke lokasi yang tidak diketahui.

“Kami tidak pasti sama ada mereka masih berada di Sabah atau sebaliknya tetapi polis sedang melancarkan operasi untuk memburu suspek,” katanya.

Mengulas lanjut, Omar berkata Semporna adalah kawasan perintah berkurung dilaksanakan namun pemilik kapal nelayan telah memohon permit untuk keluar menangkap ikan sepanjang perintah berkurung dijalankan.

Omar juga berkata, polis akan memaklumkan kepada Konsulat Indonesia berhubung apa-apa perkembangan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Mohd Shafie menegaskan kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada pihak Indonesia dan memastikan tindakan diambil untuk mengukuhkan keselamatan negara.

“Nyawa rakyat harus dilindungi tidak kira walaupun siapa mereka. Mereka diculik di perairan kita dan ia sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu negara jiran.

“Saya akan mengarahkan tindakan susulan walaupun mereka adalah warga Indonesia. Kami akan membantu dalam mempertingkatkan rondaan dan risikan maklumat dimana mereka berada supaya tindakan dapat diambil dengan segera,” katanya.

Ini adalah kejadian culik pertama yang berlaku di perairan Sabah selepas kira-kira dua tahun dengan kejadian terakhir pada 8 Disember 2016 apabila tiga penjenayah ditembak mati pasukan keselamatan dan dua ditangkap di perairan Semporna.

Loading...
scroll to top