Dihukum penjara 13 tahun mengaku anggota Abu Sayyaf

Dihukum-penjara-13-tahun-mengaku-anggota-Abu-Sayyaf.jpg

AHLI kumpulan pengganas Abu Sayyaf, Masran Ajilul Asnalul diiring anggota polis dari Cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas mengaku bersalah dalam pertuduhan menyertai kumpulan pengganas di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjadi anggota kumpulan Abu Sayyaf.

Hakim Alwi Abdul Wahab memerintahkan Marsan Ajilul @ Anuar Mohamad Aslahul, 32, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap. Ketika ini, tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan bermula April lalu atas kesalahan imigresen.

Dalam rayuannya, Marsan yang tidak diwakili peguam, mengakui kesilapannya menyertai kumpulan militan Abu Sayyaf.

Bapa kepada empat orang anak itu juga memberitahu mahkamah, dia sudah bertaubat dan memaklumkan dirinya melarikan diri ke Malaysia dengan harapan untuk memulakan hidup baru.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor dalam hujahnya meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana kes ini membabitkan kepentingan awam.

Marsan yang berasal dari Zamboanga, dilaporkan anggota kanan kepada pemimpin kumpulan Abu Sayyaf, Furuji Indaman iaitu pakar membuat bom di Basilan, selatan Filipina.

Berdasarkan pertuduhan, Marsan dituduh menjadi anggota Abu Sayyaf di sebuah kedai pejabat di Likas antara 31 Julai 2012 dan 15 Mac tahun ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pada 13 April lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan terhadap Marsan selepas mengaku bersalah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah mengikut Seksyen 6 (c) Akta Imigresen.

Loading...
scroll to top