Dua Bekas Setpol Shafie Apdal Turut Ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas setiausaha Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Putrajaya, kelmarin.

Kedua-duanya ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah.

Mereka kini direman lima hari sehingga Selasa ini selepas dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Difahamkan, mereka ialah bekas setiausaha sulit dan setiausaha akhbar Mohd Shafie, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini direman empat hari sehingga Isnin ini di Sabah berhubung siasatan kes sama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Setakat ini, seramai 13 individu ditahan berkaitan kes penyelewengan dana awam bagi projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Loading...
scroll to top