DUN Sabah belum terima surat rasmi daripada Musa, Peguam

DUN-Sabah-belum-terima-surat-rasmi-daripada-Musa-Peguam.jpg

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum menerima sebarang surat pemberitahuan daripada bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman ataupun peguamnya, kata Timbalan Speaker, Datuk George Ginibun.

“Buat masa ini, kami belum menerima sebarang surat daripada peguamnya (Musa).

“Sekiranya beliau tidak kembali dalam tempoh tiga bulan, ia (kelayakan sebagai ADUN) perlu dilakukan mengikut Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

George berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan peguam Musa yang mendakwa sudah menghantar surat, bertarikh 30 Julai, kepada Speaker bagi menjelaskan keadaan kesihatan bekas ketua menteri itu.

Dalam kenyataan itu, Musa melalui peguamnya turut memohon untuk dilanjutkan masa bagi proses angkat sumpahnya atas faktor perubatan.

Kenyataan sama itu menjelaskan Musa mungkin tidak dapat kembali ke Sabah pada masa ditetapkan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga.

Berita Terdahulu

Beliau dipetik sebagai berkata keadaan kesihatan Musa tidak akan membenarkannya balik ke Sabah untuk upacara berkenaan dan Musa juga masih menunggu keputusan hasil ujian perubatannya.

Musa perlu mengangkat sumpah sebagai ADUN dalam tempoh tiga bulan bermula 11 Jun lalu, apabila persidangan DUN Sabah diadakan buat kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kerusi yang dimenangi beliau diisytiharkan kosong.

Loading...
scroll to top