Bajet 2017 gagal ambil kira hak Sabah – Jeffrey

Jeffrey-Kitingan-Star-Sabah.jpg

Presiden Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

Kota Kinabalu : Presiden Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyuarakan rasa kecewanya berhubung Bajet 2017, yang sekali lagi gagal mengambil kira Kelayakan Hasil Bersih Sabah sebanyak 40 peratus yang jelas termaktub di bawah Artikel 112C, 112D dan Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara itu berlaku meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun menerima memorandum non-partisan yang diserahkan kepadanya oleh MySabah mengenai obligasi perlembagaan kerajaan Persekutuan.

“Beliau juga telah bersetuju untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Khas untuk menunjukkan kejujurannya dengan membayar Kelayakan Hasil Bersih 40 peratus semasa yang patut dibayar kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Malah jumlah kecil berdasarkan hasil besar yang diketahui berasal dari Sabah seperti GST, cukai pendapatan peribadi dan korporat, hasil-hasil kastam dan imigresen, Petronas dan hasil-hasil syarikat minyak antarabangsa adalah memadai sebagai permulaan,” tambahnya.

Jeffrey berkata hakikat bahawa kerajaan Persekutuan terus mengabaikan hak-hak Sabah seperti yang ditulis dalam Laporan IGC dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan membawa kepada persoalan mengenai kejujuran kerajaan Persekutuan untuk benar-benar mematuhi Perjanjian Malaysia 1963.

Di penghujungnya, kata Jeffrey, Malaysia kelihatan seperti tidak wujud kecuali atas nama sahaja kerana ia sebenarnya Malaya yang menyamar menjadi Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan dan Malaya lebih baik meniadakan MA63,” katanya. – Harian EXPRESS

Loading...
scroll to top