Potensi industri Pelancongan di Tenom sangat tinggi

Musa-Aman-Rasmi-Karnival-Pelancongan-Daerah-Tenom.jpg

MUSA melancarkan Karnival Pelancongan Peringkat daerah Tenom

TENOM: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman berkata Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan setiap daerah untuk mempergiatkan pelancongan di kawasan masing-masing bagi meningkatkan ekonomi rakyat.

Di Sabah kita mempunyai banyak tempat menarik yang boleh menarik pelancong dari luar dan dalam negara,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pelancongan Daerah Tenom di Pusat Kebudayaan Murut Sabah di sini kelmarin.

Potensi Tenom dalam industri pelancongan adalah sangat tinggi memandangkan kedudukan daerah ini yang mempunyai kemudahan perhubungan yang baik sama ada melalui Keningau atau Sipitang dan terus ke daerah-daerah lain.

“Daerah ini juga satu-satunya daerah yang boleh menawarkan budaya kehidupan dan tarian unik daripada suku Kaum Murut dan Lundayeh.

“Selain itu, banyak potensi lain yang boleh menarik pelancong termasuklah Pusat Kebudayaan Murut, Taman Pertanian, kopi tenom, berakit di Sungai Padas, air terjun serta alam sekitarnya yang bersih dengan hutan simpan yang terpelihara untuk penyelidik dari luar negara,” jelas beliau.

Sementara itu, menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Penaung Jawatankuasa Penganjur, Datuk Radin Malleh, karnival itu menjadi wadah perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Keharmonian masyarakat amat penting demi kestabilan dan kejayaan usaha-usaha pembangunan oleh kerajaan.

“Karnival ini juga akan memupuk minat rakyat Tenom untuk menceburi bidang-bidang keusahawanan berasaskan pelancongan seperti inap desa dan seni kraftangan yang boleh menjana pendapatan,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Tambahnya, pengusaha pelbagai jenis tanaman seperti durian, pisang dan kopi di daerah itu disyorkan untuk mengadakan hari terbuka bagi pelawat-pelawat datang dan menginap di tempat itu seterusnya menambah lagi produk agro pelancongan di Tenom.

Turut hadir adalah Pembantu Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi, AdunKemabong, Datuk Rubin Balang dan Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan.

Loading...
scroll to top