Sabah Negeri Terbaik Bayar Balik Pinjaman

Persidangan DUN Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri tidak pernah melengahkan pembayaran pinjaman kewangan yang dibuat kepada kerajaan Persekutuan seperti didakwa sesetengah pihak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, komitmen dalam menunaikan tanggungawab tersebut membolehkan Sabah diakui sebagai negeri terbaik daripada aspek pembayaran balik pinjaman kewangan.

“Kita berhutang dengan kerajaan Persekutuan itu biasa, tetapi Sabah mempunyai rekod pembayaran terbaik dan pembayaran dibuat mengikut masa ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr. Roland Chia (PKR – Inanam) mengenai langkah kerajaan negeri untuk membayar balik hutang kerajaan negeri berjumlah RM2.6 bilion, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Musa berkata, dana pinjaman yang diperoleh daripada kerajaan Persekutuan adalah untuk membiayai projek-projek pembangunan di negeri ini bagi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri menambah, terdapat juga bantuan dana mudah cara yang diperolehi daripada kerajaan Persekutuan seperti pelaksanaan projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dikendalikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) berjumlah RM250 juta.

Terdahulu, ketika menjawab soalan awal Roland Chia mengenai jumlah geran yang diterima kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan, Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban berkata, Sabah memperolehi sejumlah RM3.116 bilion bagi tempoh 2014 sehingga 2016.

“Bagi pembiayaan terus (direct funding) pula, Sabah menerima kira-kira RM1.3 bilion. Jumlah ini tidak termasuk lain-lain akaun amanah yang belum dapat dipastikan nilai sebenarnya,” katanya.

Ramlee berkata, pemberian disediakan oleh kerajaan Persekutuan adalah bagi membantu kerajaan negeri dalam perbelanjaan mengurus dan sebahagian kecil untuk pembangunan

Loading...

Leave a Reply

arrow