Tanaman padi di Lahad Datu Tarik Perhatian Selepas Jadi Tular

Tanaman-Sawah-Padi-Viral-Jadi-Tumpuan.jpg

PEMANDANGAN disekitar kawasan sawah padi yang diusahakan Asri di Kampung Sayur Lahad Datu. Penulis turut tidak melepaskan peluang mengambil gambar di sini (Gambar Kecil)

Kebiasaannya apabila kamu datang ke pantai timur amat jarang atau mungkin tiada sama sekali pemandangan sawah padi sepertimana yang kita lihat di kawasan pantai barat seperti daerah Kota Belud.

Artikel New Sabah Times ini membawa kita ke daerah Lahad Datu untuk melihat tanaman sawah padi yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini.


[dropcap color=”#dd3333″]S[/dropcap]ejak lokasi tanaman padi sawahnya yang terletak di Kampung Sayur, Batu 6 Setengah, jalan Segama dekat sini viral di laman sosial Facebook beberapa hari lalu, Asri Abbas, 33, mulai kerap dikunjungi orang ramai dari sekitar daerah ini tidak terkecuali penduduk setempat yang tinggal berhampiran kampungnya.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini beliau kerap dikunjungi pelawat termasuk penduduk setempat yang ingin melihat sendiri hasil tanaman padi sawah yang baru diusahakan bersama isterinya itu.

“Rata-rata pengunjung yang datang adalah untuk melihat sendiri hasil padi sawah yang kami sedang usahakan dan mereka juga turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan di lokasi bendang ini,” katanya yang ditemui wartawan New Sabah Times, baru-baru ini.

Menurut Asri, dia mula beralih untuk mengusahakan tanaman padi sawah ini setelah tanaman sayurannya kerap kali tidak menjadi ekoran faktor kawasan tanah rendah di kebun sayurnya yang selalu dinaiki air tiap kali apabila hujan lebat turun.

“Rentetan itu, saya terfikir untuk menukar tanaman sayur-sayuran yang saya usahakan sebelum ini kepada tanaman padi sawah yang telah mula saya usahakan pada awal November tahun lalu dan Alhamdulilah… percubaan pertama ini sangat menjadi dan harap-harap ia membuahkan hasil,” katanya.

Asri berkata, pada masa ini padi sawahnya ditanam di atas keluasan tanah 2 ekar dan proses menuai dijangka akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Hasrat saya selepas ini adalah untuk meluaskan tanaman padi sawah ini, kerana … ia akan menjadi punca utama hasil sumber pendapatan kami sekeluarga selepas ini,” kata bapa kepada tiga orang anak itu lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Maliana, 40-an berkata, dia yang teruja selepas melihat post viral sawah padi yang dimuatnaik di laman sosial Facebook itu turut tidak melepaskan peluang untuk datang bagi melihat dan merasai sendiri suasana di kawasan bendang itu.

Ini kerana katanya, jarang sekali dia melihat atau mendengar ada tanaman padi sawah diusahakan di daerah ini.

“Selalunya di daerah ini lebih terkenal dengan tanaman kelapa sawit… dan sebagai penduduk tempatan di sini, inilah pertama kali saya dapat melihat padi sawah, memegang dan juga merasai sendiri suasana di bendang ini… selalunya hanya dapat melihat dari jauh sahaja jika melalui kawasan Pantai Barat,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung Surianeh Samon, 43, yang ditemui dilokasi bendang itu turut melahirkan rasa keterujaan yang sama.

“Sangat seronok dapat merasai suasana bendang… ini juga merupakan pengalaman pertama saya melihat dan memegang benih padi.

“Sebagai penduduk tempatan di sini dan tinggal di kampung yang berhampiran saya turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Asri disamping mendoakan semoga perusahaannya ini terus berkembang pesat sekali gus dapat menarik pengunjung luar dan memperkenalkan lagi nama kampung Sayur,” katanya lagi.

Selain padi sawah, di kawasan bendang itu Asri turut mengusahakan tanaman padi pulut hitam yang mana ia juga merupakan percubaan pertamanya dan turut tumbuh dengan subur.

SUBUR… Asri menunjukkan hasil tanaman padi sawahnya yang tumbuh dengan subur menerusi percubaan tanaman pertamanya.

Loading...
scroll to top