Gagasan 1 Malaysia : Sabah Contoh Terbaik – TYT

SMS News Portal

Tun Juhar Mahiruddin

KOTA KINABALU: Perbezaan agama, budaya dan tradisi tidak menghalang perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi aset penting rakyat Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum, agama dan bangsa, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin

Beliau berkata, ia sekaligus menjadikan rakyat berfikiran terbuka serta dapat mengikis fahaman sempit daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

“Pada masa yang sama, negeri Sabah merupakan antara contoh terbaik gagasan 1Malaysia seperti yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia ke-51,di Dewan Kompleks Sukan Likas, di sini, kelmarin.

Turut hadir isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan merangkap pengerusi jawatankuasa induk sambutan dan barisan Kabinet negeri.

Tun Juhar berkata Sabah adalah sebuah negeri contoh terbaik kerana berjaya membuktikan kepada dunia bahawa masyarakat berbilang kaum berupaya hidup bertoleransi dan bermuafakat dalam suasana yang harmoni, aman dan makmur.

Selain itu katanya, kepelbagaian budaya dan agama di negeri ini dengan nilai perpaduan yang tinggi, adalah satu kekuatan dan kelebihan yang membolehkan wujudnya kestabilan politik dan ekonomi, sekaligus melancarkan lagi proses pembangunan dan kemajuan negeri.

“Dalam konteks ini, sumbangan Sabah kepada Malaysia dari segi perpaduan etnik dan budaya merupakan asas utama perpaduan dan permuafakatan. Malaysia menjadi daya tarikan dunia pelancongan disebabkan oleh kepelbagaian tersebut, disamping keunikan semula jadi yang terdapat di negeri ini.

“Banyak warisan budaya negara kita terikat kepada ikon kehidupan di Sabah, misalnya kehidupan berkomuniti di rumah-rumah panjang kekal menjadi tulang belakang kehidupan di negeri ini kerana ia adalah simbol kepada keperluan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk hidup di bawah satu bumbung dan untuk membina tempat tinggal negara kita secara bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan halangan serta suasana yang mencabar, namun Kerajaan Negeri pada keseluruhannya dengan bantuan Kerajaan Persekutuan berjaya menunaikan sebahagian besar daripada janji-janji dan matlamat perancangan pembangunan di negeri ini.

“Keamanan dan tadbir-urus kerajaan negeri yang baik secara keseluruhannya bukan sahaja berjaya menyatukan semua kaum di negeri ini tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi serta membawa pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Tun Juhar berkata, kerajaan amat menghargai peranan golongan Generasi muda dan belia (Gen Y) yang akan menerajui pembangunan negara pada masa hadapan.

“Dengan itu, Kerajaan akan terus memberi tumpuan dan perhatian dalam membimbing dan mengadakan “continuous engagement” dengan golongan tersebut agar mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan produktif,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat negeri ini terus mengekalkan perpaduan dan mengelak perpecahan.

“Untuk mencapai ketenteraman dan kestabilan yang hakiki, kita perlu bermuafakat dan bersatu padu,” katanya.

Bagi anggota perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, Tun Juhar mengucapkan penghargaan khususnya kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam proses menentukan keamanan dan kesejahteraan rakyat negeri terus dijamin.

“Kita perlu bersyukur kerana Malaysia berjaya mengacapi nikmat kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

“Rintangan-rintangan berkenaan wujud sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstremis agama mahupun perkauman.

“Bagaimanapun setiap rintangan itu dapat diatasi menggunakan kerangka tindakan berhemah dan demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya.

-SABAHTIMES-

Loading...
scroll to top