Guna nama parti politik, elak anak ditahan AADK Sandakan

Guna-nama-parti-politik-elak-anak-ditahan-AADK-Sandakan.jpg

Anggota Penguatkuasa AADK - Gambar Hiasan

Cuba lepaskan anak ditahan AADK, ayah guna nama parti

SANDAKAN: Cubaan seorang ayah menggunakan nama parti politik untuk membolehkan dua orang anaknya terlepas daripada ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan gagal.

Tindakan beliau gagal setelah kedua anak lelakinya yang berumur 30 dan 35 tahun itu didapati positif dadah jenis Syabu.

Menurut, Ketua AADK Cawangan Sandakan, Aisyah Abdul Karim, kedua lelaki itu antara 21 orang termasuk seorang wanita yang ditahan kerana positif dadah semasa Operasi Perdana secara serentak seluruh Sabah di Sandakan pada Rabu.

“Ayah kepada dua lelaki itu cuba menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas dengan menghalau dan tidak membenarkan pihak AADK mengambil ujian air kencing terhadap anaknya yang ditahan semasa operasi itu di Taman Mesra, Batu 4 disini,” tambahnya.

“Beliau menggunakan atas nama sebuah parti politik agar anaknya tidak ditahan dan salah seorang anaknya itu juga enggan memberikan kerjasama kepada kami,” katanya kepada pemberita

Jelas Aisyah, operasi itu yang bermula dari pukul 3 petang pada Selasa sehingga 2 pagi, hari Rabu dengan kekuatan anggota seramai 12 orang AADK.

Beliau juga bersama Ketua Unit Penguatkuasaan & Pengesanan (IO), Nguil a/k Inggong turut menyertai operasi itu yang melibatkan 6 kawasan di daerah ini iaitu Kampung Melayu, Kampung Nanas, PPR Sungai Manila, Taman Mesra, Taman Harmoni dan Taman Murni.

“Ringkasan daripada kes ini seramai 22 orang ditahan dan hanya seorang yang didapati negatif selepas ujian saringan air kencing dilakukan keatas mereka.

Jelasnya, kesemua yang ditahan termasuk wanita yang sudah berkahwin itu berumur lingkungan 19 hingga 50 tahun dan positif dadah jenis Methamphetamine (Syabu).

Manakala, dua orang daripada semua yang ditahan juga semasa diperiksa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka ditahan dibawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) dan dua orang lagi yang tidak mempunyai dokumen itu kes diserahkan kepada pihak Polis”, katanya lagi.

Loading...
scroll to top