Ibu dera anak di Kota Belud didenda RM100,000, penjara 30 tahun

Ibu-dera-anak-di-Kota-Belud.jpg

KOTA KINABALU: Seorang ibu yang mengaku salah mendera sepasang anaknya kerana tertekan setelah mengetahui suaminya sudah berkahwin, dikenakan denda RM100,000 dan penjara selama 30 tahun, oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 32 tahun, yang disabitkan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dua pertuduhan.

Pada 1 Januari hingga 31 Julai di kuarters perumahan kilang di sebuah kampung, daerah Kota Belud, tertuduh mendera anak perempuannya berusia 11 tahun empat bulan.

Tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun satu bulan, pada 31 Julai jam 12 tengah hari, di tempat sama.

Hukuman yang diperuntukkan, denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh 20 tahun, atau kedua-duanya.

Untuk setiap kesalahan itu, tertuduh dikenakan denda RM50,000 atau penjara enam bulan, serta penjara 15 tahun, bermula dari tarikh tangkap pada 31 Julai.

Selain itu, mahkamah mengenakan perintah bon berkelakuan baik selama tiga tahun deposit RM1,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan, setelah tamat pemenjaraan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga dilarang berhubung dengan kedua-dua anaknya, serta harus menjarakkan diri 100 meter.

Berdasarkan fakta kes, pengadu dari Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Kota Belud, mengambil kedua-dua mangsa daripada tertuduh, pada 31 Julai di rumah kediaman mereka.

Semasa pengambilan itu, anak lelaki tertuduh dalam keadaan berbogel serta bahagian kaki dirantai.

Hasil siasatan menunjukkan, ramai saksi melihat tertuduh sering memukul dua anaknya, sama ada menggunakan tangan atau objek.

Punca penderaan akibat daripada tertuduh melepaskan tekanan, selepas mengetahui suaminya sudah berkahwin dan mempunyai isteri, selain tidak diberikan wang belanja.

Semasa rayuan, tertuduh memohon agar hukumannya diringankan.

Namun Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip menegaskan, tempoh pemenjaraan yang lama harus dikenakan, supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Tambahnya, sebagai seorang ibu haruslah melindungi anak-anaknya dan bukan sebaliknya.

Dalam kes berasingan, mahkamah menetapkan pengurusan kes 4 September terhadap seorang lelaki warga asing, yang didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap anak perempuan tertuduh.

Mel Bol Leng@ Adam Abdul, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memegang payudara mangsa, sekitar November tahun lalu jam 10 malam, di tempat sama.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, boleh dikenakan penjara selama 20 tahun dan sebat.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan diperintahkan terus direman, sehingga kes selesai.

Loading...
scroll to top