Ke mana RM 1.5 Bilion, SPRM siasat 350 Projek KKLW di Sabah

Sebanyak 350 projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sembilan daerah di Sabah berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion.

Projek itu yang dilaksanakan dalam tempoh 2010 hingga 2016, dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Projek berkenaan berkaitan pembangunan infrastruktur air, elektrik serta jalan raya yang membabitkan dana awam lebih RM 7.5 bilion.

Bagi projek bekalan air, dipercayai 170 projek ditawarkan membabitkan kos RM2 bilion, manakala 163 projek lagi membabitkan kerja infrastruktur jalan raya (RM3.2 bilion) dan 17 projek bekalan elektrik (RM2.19 bilion).

Daripada keseluruhan dana awam itu, SPRM menganggarkan RM1.5 bilion diselewengkan.

BH turut difahamkan, dalam pelaksanaan keseluruhan pembangunan infrastruktur itu, kementerian turut melantik lebih 260 syarikat untuk melaksanakan projek terbabit.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kira-kira 65 syarikat dikesan berkemungkinan memperoleh projek secara meragukan termasuk memperoleh lebih daripada dua projek.

Akibat penyelewengan itu, ada projek yang berkemungkinan tidak disiapkan secara betul serta tidak mengikut spesifikasi sehingga membebankan golongan sasar khususnya orang miskin di daerah berkenaan.

Kelmarin, SPRM mendedahkan 60 syarikat sudah dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan itu yang membabitkan RM1.5 bilion dana awam.

Datuk Seri Azam Baki

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, dilaporkan berkata projek yang dilaksanakan tidak sempurna dan dilihat mempunyai isu rasuah.

Sementara itu, Azam ketika dihubungi BH malam ini, berkata pihaknya sedang mengesan ke mana wang RM1.5 bilion yang diseleweng dibelanjakan.

“Siasatan kami sedang melihat kepada ketirisan penggunaan dana awam yang disediakan kerajaan Pusat kepada Sabah bagi projek infrastruktur air, elektrik dan jalan raya. Setakat ini, hanya itu saja siasatan yang sedang dilaksana SPRM,” katanya.

Azam berkata, seramai 32 saksi yang merangkumi pelbagai latar belakang termasuk pemilik syarikat yang disiasat berhubung kes berkenaan dikenal pasti untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dan rampasan baharu dilakukan dan proses siasatan terhadap semua syarikat yang dikenal pasti masih giat dilakukan.

“Hampir semua daripada 60 syarikat yang dikenal pasti terbabit projek pembangunan luar bandar dalam kes ini sudah kita masuk, namun kita masih mengesan jika ada lagi syarikat lain yang terbabit,” katanya.

scroll to top