Kebakaran Semporna : Lagi penempatan atas air hangus

kebakaran-semporna-sabah.jpg

Kebakaran besar berlaku di penempatan atas air, di Kampung Ayer Semporna

SEMPORNA: Lagi kebakaran besar berlaku di penempatan atas air di Sabah, kali ini membabitkan puluhan rumah di Kampung Ayer di sini, yang hangus dalam kejadian lewat petang tadi.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah, kira-kira jam 5.30 petang, sebelum api merebak memusnahkan puluhan rumah lain, berikutan kedudukan kediaman yang rapat antara satu sama lain.

Puluhan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ayer Semporna. – Foto ihsan Pembaca

Kepulan asap hitam dan api yang marak serta menjulang tinggi dapat dilihat dengan jelas dari pekan Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi berkata, jumlah sebenar rumah yang musnah dalam kebakaran itu belum dapat dipastikan.

Setakat jam 8 malam tadi, anggota bomba masih bertungkus lumus mengawal kebakaran dan menjalankan operasi pemadaman.

Ia kebakaran besar keempat membabitkan penempatan atas air dan setinggan di Sabah dalam tempoh 36 hari.

Pada 27 Jun lalu, seramai 1,224 penghuni hilang tempat tinggal apabila 125 rumah di Kampung Gas, Sandakan terbakar, disusuli 150 penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran 30 rumah di Kampung Sarip, Lahad Datu, 9 Julai lalu.

Dalam kejadian terbaharu pada 24 Julai lalu, kira-kira 150 rumah di Kampung Cenderamata Dua di Likas, terbakar mengakibatkan hampir 800 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

DIKEMASKINI
Loading...
scroll to top