Kenapa sayang buat macam ini.. sepatutnya sayang di rumah

kenapa-sayang-buat-begini-bah.jpg

Wanita memeluk lelaki ditahan orang ramai dipercayai suaminya

Tanpa mempedulikan orang ramai di sekelilingnya seorang wanita memeluk lelaki yang ditahan orang ramai kerana disyaki melakukan jenayah seluk saku beg duit seorang wanita di tamu Putatan hari ini.

Wanita berkenaan dipercayai isteri kepada lelaki itu meraung sambil bertanya “Kenapa sayang buat macam ini… sepatutnya sayang di rumah waktu ini,” kata wanita yang tersebut.

Wanita itu menangis sambil berulang kali menanyakan kepada lelaki terbabit kenapa dia melakukan perbuatan itu.

Situasi itu mengundang rasa simpati orang ramai kepada wanita terbabit selain geram kepada suaminya yang menjadi penjenayah dan menyusahkan orang lain.

Polis yang tiba di lokasi kejadian membawa suspek ke Balai Polis Putatan, Penampang untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan selepas disyaki melakukan jenayah seluk saku beg duit seorang wanita di kawasan pasar tamu berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan membeli barang keperluan di pasar raya di Putatan.

“Ketika hendak membeli sayur, mangsa merasakan beg tangannya diseluk oleh seseorang dari belakang. Mangsa terus menoleh dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali melarikan diri dengan membawa dompet milik mangsa.

“Mangsa kemudian menjerit ‘pencuri!’ dan orang awam yang berada di situ menahan dan seterusnya menangkap lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, suspek warga tempatan berusia 33 tahun manakala barang rampasan diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – Harian Metro

Loading...
scroll to top