Tiga Lelaki Tempatan Dipenjara Kerana Terlibat Mencuri Kenderaan

Tiga-Lelaki-Tempatan-Dipenjara-Kerana-Terlibat-Mencuri-Kenderaan.jpg

Tiga Lelaki Tempatan Dipenjara Kerana Terlibat Mencuri Kenderaan di Sandakan

SANDAKAN: Tiga lelaki masing-masing dipenjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin kerana terlibat kegiatan mencuri kenderaan.

Mohd Taufik Nasrin Mat Din, 18, Ridween Francis, 19, dan Mohd Nadzlie Khan Ghazali Khan, 21, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Taman Bahagia di sini kira-kira jam 6 pagi pada 16 Oktober lepas.

Majistret Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu ke atas semua tertuduh mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Taufik dan Ridween masing-masing dipenjara selama sembilan bulan, manakala Mohd Nadzlie selama 10 bulan kerana melakukan kesalahan melupuskan beberapa komponen kenderaan yang dicuri.

Kesalahan dilakukan mereka itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Kesemua hukuman diperintahkan dijalankan secara berasingan. Selepas selesai, Ridween diperintah agar dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Berdasarkan fakta kes, selepas mencuri kenderaan jenis Proton Iriz itu, mereka telah cuba menjual beberapa komponen di sebuah kebun sawit di Batu 12, bagaimanapun tiada transaksi berjaya dilakukan.

Selepas itu, mereka menjual komponen seperti rim, LCD monitor dan kerusi kereta itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Sandakan dan Telupid.

Mereka kemudian meninggalkan kereta yang dicuri itu di tepi jalan berdekatan sebuah ladang di Kampung Kiabau, Telupid dan membuang kunci kereta ke dalam semak.

Dua daripada tertuduh berjaya ditahan pada 21 Oktober lepas di Taman Sejati dan seorang lagi ditahan di Kampung Kiabau, Telupid pada keesokan hari.

Dalam mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan di jatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana memecah masuk sebuah rumah di Flat Taman Sejati di sini pada 16 Oktober lepas.

Md. Aminullah Md. Sulong, 20, mengaku bersalah memecah masuk ke rumah itu bersama tiga rakannya dan mengambil barangan seperti tong gas, dapur gas memasak, periuk nasi, pemain cakera padat dan kipas yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Dia berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis pada 24 Oktober lepas di kawasan perumahan yang sama. Turut dirampas, beberapa barang curi yang ditemui di dalam rumahnya.

Loading...
scroll to top