Kes Musa Aman: Polis serah kertas siasatan kpd Jabatan Peguam Negara

Kes-Musa-Aman-Polis-serah-kertas-siasatan-kpd-Jabatan-Peguam-Negara.jpg

KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata siasatan lanjut berhubung kes itu kini diambil alih oleh pasukan polis Bukit Aman dengan dibantu Polis Sabah.

“Kes itu sekarang akan dikendalikan Bukit Aman, tetapi Polis Sabah akan memberikan kerjasama berhubung kes berkenaan (siasatan),” katanya kepada media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner M Chandra yang bertukar sebagai Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (START) Kontinjen Sabah menyerahkan tugas kepada Ketua Polis Daerah yang baharu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Pada Mei lalu, beberapa hari selepas upacara angkat sumpah di Istana Negeri, Yang di-Pertua Negeri membuat laporan polis terhadap Musa berkaitan ugutan jenayah, dipercayai ada kaitan dengan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu kini dilaporkan berada di London sejak pertengahan Mei lalu, dikatakan bagi mendapat rawatan kesihatan.

Kali terakhir Musa dilihat ialah ketika menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu dan pada Mesyuarat UMNO yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Mei lalu.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga sehingga kini belum mengangkat sumpah sebagai ADUN dan perlu berbuat demikian dalam tempoh tiga bulan selepas sesi pertama sidang DUN Sabah pada 11 Jun lalu.

Loading...
scroll to top