Kes Rasuah JKNS: Wang Tunai 4 Juta Disita SPRM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM4 juta lagi wang tunai dalam siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan pegawai Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, mendedahkan pihaknya turut menyita beberapa hartanah bernilai RM2.7 juta termasuk rumah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah milik empat suspek yang ditahan reman semalam.

“Semalam kita membuka peti simpanan di beberapa bank dan menyita RM4 juta wang tunai dalam akaun.

“Kita juga menyekat (caveat) rumah dan hartanah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah supaya tidak boleh dijual atau ditukar tangan sepanjang tempoh siasatan.

“Rumah ada enam atau tujuh buah yang terbabit, dan kita akan teliti sama ada ia hasil rasuah atau salah guna kuasa. Nilainya dianggarkan RM2.7 juta dan ia milik empat suspek, iaitu di bawah nama mereka dan ahli keluarga,” katanya.

PENGARAH SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi ketika ditemuramah selepas menghadiri Taklimat Projek-Projek Khas PM, TPM dan MP, di Hotel TH, Kota Kinabalu. – Foto Khairull Azry Bidin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Taklimat Projek-Projek Khas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen anjuran Pejabat Kemajuan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani dan Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Datuk Ruji Ubi.

Sazali berkata, selain berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram bagi menyiasat wang rasuah yang sudah diubah kepada hartanah dan barangan lain termasuk barang kemas.

Katanya, enam lagi saksi yang terdiri daripada kakitangan syarikat kontraktor dikenal pasti setakat ini dan akan dipanggil memberi keterangan, selain tidak menolak ada lagi saksi lain selepas semua dokumen berkaitan diteliti.

“Kita masih meneliti dokumen yang dirampas, ia mungkin mengambil masa kerana kes dari tahun 2012 hingga tahun lalu. Setakat ini empat sudah ditahan dan kita juga mengenal pasti enam saksi untuk dipanggil iaitu kakitangan kontraktor,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan projek yang disiasat dalam kes itu adalah berkaitan penyelenggaraan landasan dan kereta api, termasuk peruntukan kecemasan dengan ada antaranya tidak dilaksanakan.

Semalam, empat individu iaitu tiga pegawai JKNS dan seorang kontraktor syarikat ditahan reman hingga Ahad ini berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa jabatan kerajaan negeri itu.

Berdasarkan siasatan awal SPRM, tiga pegawai JKNS terbabit dipercayai menerima suapan daripada kontraktor bernilai lebih RM3 juta sejak tahun 2011.

Loading...

Leave a Reply

arrow