Kontraktor ceroboh kawasan tanah penduduk

Kontraktor-ceroboh-kawasan-tanah-penduduk.jpg

BAINTIN menunjukkan lokasi keluasan tanah komunal dan balak yang diambil oleh syarikat besar

KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) kawasan Kota Marudu Datuk Baintin Adun meminta agar pihak kerajaan membatalkan atau mengecilkan pemilikan geran tanah komunal yang dikendalikan syarikat besar berikutan ianya tidak menguntungkan rakyat.

Katanya, pemberian kawasan tanah geran komunal tidak membantu rakyat sama sekali berikutan rakyat serta penduduk tempatan sendiri sebagai penama geran tidak dapat merasai hasil bumi yang diusahakan di kawasan terbabit.

“Kesemua hasil tanaman di tanah terbabit didakwa dilupuskan oleh syarikat besar yang juga kontraktor yang menceroboh kawasan tanah yang sudah diusahakan penduduk untuk tujuan pembalakan.

“Kita juga mendapat aduan daripada penduduk kampung terutama di Kampung Langkabungan 1 mendakwa syarikat ini mengambil kayu balak untuk pasaran eksport dan tempatan dan pada masa sama tanaman termasuk getah dirosakkan untuk tujuan itu,” katanya.

Menurutnya, pemilik tanah juga sudah membuat aduan di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) dan Pejabat Perhutanan bagaimanapun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kayu balak habis diambil sejak tahun lalu.

SEBAHAGIAN kayu balak yang sempat ditahan oleh penduduk dari dibawa keluar oleh syarikat besar yang didakwa menceroboh kawasan penduduk kampung. – UTUSAN BORNEO

“Lebih 2000 kayu balak dipercayai diambil di Kampung Langkabungan 1 yang mana ianya adalah di luar kawasan syarikat besar itu menyebabkan penduduk menahan kayu daripada dibawa keluar.

“Malangnya pihak berkuasa tidak melaksanakan apa-apa tindakan sewajarnya dan lebih teruk pihak syarikat mengugut penduduk bahawa mereka mempunyai hak untuk membatalkan geran komunal di tanah terbabit,” katanya.

Oleh itu katanya, lesen membalak serta tanah komunal seluas 60,000 hektar yang dipegang oleh syarikat besar itu perlu dikaji semula untuk kebaikan serta kesejahteraan penduduk.

“Sebagai telinga kerajaan saya merayu agar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menarik balik tanah atau mengecilkan kawasan yang diperuntukkan kepada syarikat besar ini.

“Sempadan tanah antara syarikat besar dan kawasan sekeliling juga perlu ditandakan bagi mengelakkan pencerobohan daripada mana-mana pihak serta kawasan tanah perlu dikeluarkan dari kawasan syarikat besar agar rakyat dapat mengusahakan tanah terbabit secara berkelompok untuk tujuan pertanian,” katanya.

Tambahnya, geran tanah komunal itu juga perlu ditukarkan kepada geran milik persendirian untuk kebaikan masa hadapan penduduk Kota Marudu sendiri. – UTUSAN BORNEO


ARTIKEL HOT Pilihan Pembaca Minggu Ini
Loading...
scroll to top