Laluan Kedua Kota Kinabalu-Ranau Bakal Beri Manfaat

Laluan-Kedua-jalan-Kota-Kinabalu-Ranau.jpg

Laluan Kedua Jalan Kota Kinabalu-Ranau

Laluan Kedua Jalan Kota Kinabalu-Ranau

KOTA KINABALU: Laluan kedua menghubungkan bandar raya ini dengan Ranau yang dalam pembinaan membabitkan kos kira-kira RM300 juta bakal membawa banyak manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat Sabah.

Jalan raya sepanjang kira-kira 80 kilometer bermula di pekan Telipok, di sini hingga ke Kampung Randagong, Ranau itu disasar untuk mengurangkan aliran lalu lintas di laluan sedia ada Tamparuli-Ranau yang menjadi laluan utama ketika ini.

Pembinaan laluan baharu itu menjadi kenyataan selepas ia dilihat lebih praktikal berbanding membesarkan laluan sedia ada berikutan kedudukan Jalan Tamparuli-Ranau di kawasan sensitif yang terdedah kepada ancaman tanah runtuh, termasuk disebabkan aktiviti gempa bumi.

Bukan itu saja, pembinaannya yang merangkumi kerja menaik taraf beberapa jalan sedia ada dan laluan baharu merentasi berpuluh kampung di Telipok, Kiulu dan Ranau dapat mengatasi masalah perhubungan luar bandar.

Bagi penduduk Kampung Tampulan, Telipok, pembinaan laluan baharu itu dapat memenuhi impian mereka untuk menikmati jalan raya lebih baik setelah setengah abad berdepan masalah perhubungan.

Jalan ke kampung berkenaan dan enam kampung lain di kawasan Telipok Darat, iaitu Natai Siba, Natai Sokid, Lawa Mandau, Seri Malidan, Bunsut dan Tolungan tersenarai dalam pembinaan laluan baharu itu, membabitkan kerja menaik taraf jalan sedia ada.

Ancaman hakisan tanah Sebelum ini, kira-kira 3,000 penduduk kawasan itu termasuk murid, pelajar dan guru sering menghadapi masalah ke pekan Telipok berikutan keadaan jalan yang teruk diancam hakisan tanah, selain licin terutama ketika musim hujan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tampulan, Sipun Munsin, 60, berkata pihaknya sudah lama memohon kerajaan menaik taraf jalan ke kampung berkenaan bagi memudahkan penduduk membawa keluar hasil pertanian.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana menaik taraf jalan ke kampung kami, malah lebih menggembirakan ia menjadi sebahagian laluan baharu ke Ranau dan ini pastinya menaikkan imej Kampung Tampulan,” katanya kepada BH.

Penduduk Tampulan, Salina Moroli, 60, berkata pelaksanaan projek menaik taraf jalan berkenaan menunjukkan kerajaan mengambil berat masalah rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran disebabkan keadaan perhubungan tidak sempurna.

“Sudah lama kami menanti pembangunan ini akhirnya tertunai juga… syukur sangat. Dulu, macam-macam masalah dihadapi disebabkan jalan tidak sempurna dan paling teruk jika ada kecemasan seperti orang sakit atau mahu bersalin,” katanya.

“Bagi yang ada kenderaan, mereka berdepan masalah cepat rosak, kerap menukar alat ganti, selain ada yang terbabit kemalangan, termasuk maut jatuh gaung.

Namun, apabila kerja menaik taraf ini siap sepenuhnya, saya yakin masalah ini tidak lagi berlaku,” katanya. Ketua Anak Negeri (KAN) Kota Kinabalu, Biniau Mabon, 63, berkata, projek itu bakal membawa manfaat berganda kepada penduduk termasuk dari segi ekonomi terutama potensi untuk mengembangkan aktiviti pelancongan.

“Nilai tanah juga pasti meningkat dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk kawasan ini. Banyak peluang perniagaan boleh diwujudkan termasuk pusat sehenti untuk kemudahan pengguna jalan raya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top