Lebih 700 Penumpang Terkandas Di Terminal Feri Tawau

Kadar-bayaran-di-terminal-Feri-Tawau.jpg

HARGA NAIK.. Terminal Feri Tawau yang baru dengan kadar tambang baharu yang menjadi viral di media sosial sejak kelmarin

TAWAU, 7 Dis – Lebih 700 penumpang feri tempatan dan asing terkandas di Terminal Feri Tawau, berikutan perkhidmatan feri yang dijadual ke Tarakan dan Nunukan, tidak beroperasi sejak semalam.

Dalam tinjauan Bernama mendapati rata-rata penumpang yang terkandas ketika ditemui Bernama kecewa dengan keadaan itu kerana banyak urusan rasmi dan keluarga telah tergendala.

Ratna Abu Bakar, 50 yang berasal dari Nunukan, Indonesia berkata perkara itu memberikan pengalaman pahit kepadanya yang tiba di Tawau seawal 6 pagi dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu pada pukul 8 malam, semalam.

Terminal Feri Tawau

TERKANDAS.. Laporan Bernama petang ini lebih 700 penumpang terkandas di Terminal Feri Tawau

“Makcik mahu balik ke Nunukan pagi ini, tapi sebaik tiba di terminal feri Tawau, tiket tidak dijual dan pada pukul 11 pagi dimaklumkan tiada feri ke Nunukan,” katanya yang sudah 21 hari berada di Sabah untuk melawat anaknya yang menjalani pembedahan di sebuah hospital kerajaan di Kota Kinabalu.

Bagi Masnah Madung, 53, seorang warga Indonesia yang berkahwin dengan warga Malaysia dan menetap di Inanam itu ingin pulang ke Nunukan untuk urusan rasmi.

“Saya mahu cop pasport yang akan tamat tempoh pada 19 Dis ini tetapi hari ini diberitahu tiket tidak dijual kerana tidak ada feri dari Nunukan,” katanya yang bertolak dari Kota Kinabalu menaiki bas pukul 8 malam, semalam.

Aris Wahyudi, 27, dari Tarakan berkata dia terpaksa bermalam di terminal feri Tawau kerana tidak ada tiket dijual untuk ke Tarakan hari ini.

Beliau berada di Sandakan selama tiga hari atas urusan perniagaan dan apabila tiba di terminal feri Tawau pagi ini, pekerja di kaunter tiket tidak mahu menjual tiket kerana belum pasti dengan perkhidmatan feri.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan itu dipercayai berlaku kerana pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan tidak berpuas hati dengan caj terminal feri dan caj ke atas barangan penumpang.

Sementara itu, Pengurus Besar Fokasjadi Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan terminal feri Tawau, Lim Yit Kiong enggan mengulas mengenai perkara itu namun berkata operasi terminal feri di sini berjalan seperti biasa.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan atau maklumat rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Berita Terdahulu: 500 Penumpang Terkandas di Terminal Feri Tawau

Terminal Feri Tawau itu mula beroperasi 5 Dis lepas menggantikan terminal lama bagi memberi kemudahan kepada lebih 700 penumpang setiap hari yang menggunakan perkhidmatan feri membabitkan perjalanan Tawau-Nunukan dan Tawau-Tarakan, Indonesia.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau Krishna Dielani ketika dihubungi mengesahkan pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan tidak mahu beroperasi seperti biasa.

Namun, beliau berkata pihaknya belum menerima secara rasmi mengenai permasalahan yang dihadapi pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan sehingga menyebabkan perkara itu berlaku sekali gus menyebabkan perjalanan penumpang di kedua-dua negara tergendala.

“Adalah difahamkan bahawa pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan belum mencapai kata sepakat mengenai beberapa perkara termasuk berkaitan caj terminal yang dikenakan oleh syarikat pengendali Terminal Feri Tawau,” katanya. – BERNAMA


Rakan SMS News Portal¬†memberitahu kepada Suara Masyarakat Sabah kejadian ini berlaku sejak kelmarin selepas pengusaha feri di Indonesia ‘mogok’ tidak mahu ke Tawau kerana tambang baharu yang tinggi.

Menurut satu komen di laman media sosial jika dibandingkan naik feri dan kapal terbang kadar tambang tidak jauh berbeza dan adalah lebih baik memilih naik kapal terbang.

Pihak yang berkenaan jangan hanya membisu dan diharap dapat memberi penjelasan seterusnya menyelesaikan permasalahan ini supaya tidak terus berlanjutan.

Loading...
scroll to top