Lelaki Kurang Siuman Serang Polis Parah Ditembak

RANAU: Seorang lelaki yang mengalami masalah mental dan melakukan kekecohan dengan melempar batu ke arah pengguna jalan raya parah selepas ditembak anggota polis di hadapan sebuah rumah di Kampung Kinaratuan, di sini, malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata suspek ditembak selepas menyerang dua anggota polis menggunakan parang dan batang buluh tajam semasa anggota terbabit pergi ke rumah suspek ekoran laporan suspek mengamuk sebelum kejadian.

Katanya suspek berumur 40 tahun yang ditembak pada bahagian dada dan kaki kiri kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

“Sebelum kejadian, anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan mendapat laporan seorang lelaki (suspek) mengamuk menggunakan senjata tajam serta melempar batu ke arah kereta pengguna jalan raya di Kampung Kinaratuan.

“Bertindak daripada maklumat diterima, anggota polis kemudian memeriksa lokasi dilaporkan. Bagaimanapun, suspek sudah pulang ke rumahnya sebelum anggota polis mengesan suspek di rumahnya,” katanya.

Farhan berkata sebaik anggotanya memperkenalkan diri, suspek secara tiba-tiba menjerit dan memaki hamun anggota berkenaan sebelum mengejar mereka menggunakan parang.

“Suspek turut memegang buluh tajam pada tangan kirinya dan melibaskan parang ke arah anggota polis terbabit.

“Anggota polis berusaha menghentikan perbuatan suspek dan memujuk untuk melepaskan senjatanya, bagaimanapun suspek terus bertindak agresif dengan menyerang anggota polis berkenaan.

“Bagi mempertahankan diri, salah seorang polis melepaskan tembakan yang terkena kaki kiri suspek,” katanya.

Menurutnya suspek masih mengejar anggota polis menyebabkan satu lagi tembakan terpaksa dilepaskan yang terkena bahagian dada suspek.

Katanya selepas tembakan kedua dilepaskan, suspek kemudiannya akur untuk melepaskan senjatanya dan suspek dihantar ke Hospital Ranau sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang kerana mengalami masalah mental.

“Kenderaan pengguna jalan raya yang dibaling batu oleh suspek turut dilaporkan pecah,” katanya.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...

Leave a Reply

arrow