Lelaki Maut Ditikam Rakan Sekerja

Lelaki-Maut-Ditikam-Rakan-Sekerja.jpg

Polis Penampang Buru Suspek Kes Bunuh (Gambar)

PENAMPANG: Seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian di hadapan sebuah bengkel kereta berdekatan Bulatan Nenas, Jalan Penampang, di sini, Sabtu lepas.

Mangsa Fandi Ariyanto, 24, yang bekerja sebagai tukang cat kereta mengalami kecederaan di sebelah kiri belakang akibat kesan tikaman.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata kejadian terbabit berlaku sekitar jam 5 petang.

“Siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian mangsa dipercayai berselisih faham dengan suspek di tempat kerja.

“Tidak lama selepas itu, mangsa dilihat terbaring dalam keadaan separuh sedar dan belakangnya berlumuran darah di hadapan bengkel bersebelahan sebuah lori.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu kelmarin.

Sehubungan itu, polis kini memburu suspek yang dikenali sebagai Budi @Uding, 38, yang juga warga Indonesia.

Pihaknya kini giat melancarkan gerakan memburu suspek yang dipercayai lari menyembunyikan diri.

Selain itu, polis turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya segera menghubungi pegawai penyiasat kes Insp. Noor Hazlie Md Yusoh di talian 016-8869030 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang 088-712222 atau balai polis berhampiran.

Rosley berkata pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan tiada sebarang senjata ditemukan.

“Mangsa dan suspek baharu sahaja bekerja di bengkel terbabit kira-kira dua bulan lepas dan menyewa bilik di bangunan kedai berdekatan tempat kerja mereka.

“Bedah siasat akan dilakukan pada 5 Jun 2017 (hari ini) bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top