Lelaki Maut Motorsikal Dirempuh Triton

KEADAAN motorsikal yang dirempuh di lokasi kejadian

KOTA KINABALU: Seorang pekerja hotel maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Jalan Lido, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Fernandes Kadoh, 33, dari Kampung Pulong, Tenom, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Penampang menuju ke bandar raya manakala pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton juga arah sama.

“Kejadian berlaku apabila Mitsubishi Triton yang berada di belakang tiba-tiba terlanggar motosikal terbabit menyebabkan mangsa terpelanting ke hadapan sejauh kira-kira 12 meter.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1),” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Chandra berkata, siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HQE 1 untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu diminta supaya menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – BH ONLINE

Loading...
arrow