Lelaki Tempatan Didenda Rm1,000 Pukul Kontraktor

Kes-pukul-berita-sabah.jpg

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang mencederakan seorang kontraktor dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Mohd Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Christopher Joseph, 36, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh memukul mangsa yang berusia 39 tahun dengan menggunakan sebatang paip besi, pada 13 September tahun lalu jam 8.30 pagi, di Aquaclean Laundry, Jalan Bypass Penampang.

Atas kesalahan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Siasatan awal mendapati, pada hari kejadian pengadu pergi ke tempat kerja bakal isterinya di Aquaclean Laundry, untuk bertanya mengapa tidak pulang ke rumah.

Semasa bertikam lidah dengan bakal isterinya, tiba-tiba tertuduh datang dan memukul kepala dan badan pengadu dengan menggunakan sebatang paip besi.

Akibat daripada itu, pengadu mengalami kecederaan di bahagian telinga kanan dan menerima 11 jahitan.

Beliau percaya bahawa tertuduh yang dikenali oleh bakal isterinya melalui laman sosial Facebook, bertindak demikian akibat cemburu.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Mohd Rasydan Jasni.

Loading...
scroll to top