Lelaki Tempatan Dituduh Rogol Kakak Ipar

Lelaki-Tempatan-Dituduh-Rogol-Kakak-Ipar.jpg

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol kakak iparnya.

Hakim Azreena Aziz menetapkan pada 13 hingga 15 Mac tahun ini sebagai tarikh perbicaraan, terhadap tertuduh yang berusia 26 tahun.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 28 tahun, pada 27 Februari tahun lalu jam 11.30 malam, di sebuah bilik kuarters, di Putatan, Penampang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 ( 3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun, serta tidak kurang sepuluh sebatan.

Peguam Luke Ressa Balang yang mewakili tertuduh menyatakan, tertuduh sebelum ini dibebaskan tanpa dilepaskan oleh mahkamah atas pertuduhan itu.

Menurutnya, sebelum ini pengadu pernah menarik laporan polis terhadap tertuduh, namun pihak pendakwan mendapat arahan dari ibu pejabat untuk meneruskan kes terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Hafizah Zahidah Abdul menyatakan, hal itu disebabkan pada ketika itu, laporan kimia belum diperolehi.

“Kini laporan kimia sudah ada dan arahan lanjut dari ibu pejabat untuk meneruskan pertuduhan mengikut Seksyen 376 ( 3) Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizah juga membantah tertuduh diberikan ikat jamin, kerana keseriusan kesalahan dan risiko saksi akan diganggu.

Luke memohon jumlah ikat jamin sebelum ini dikekalkan mahkamah, hal ini kerana tertuduh memberikan kerjasama dengan mahkamah sebelum ini.

Mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM5,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Loading...
scroll to top