Loji Air Semporna jadi projek gajah putih ?

KOTA KINABALU: Projek dibina di lokasi yang tidak sesuai hingga terbiar selepas disiapkan tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, dikesan dalam siasatan berhubung penyelewengan dana awam luar bandar di Sabah.

Projek pembinaan sebuah loji air bernilai RM45 juta di Semporna itu tidak dapat berfungsi disebabkan sungai cetek yang mengakibatkan sumber air tidak mencukupi.

Tweet Ahli Parlimen Semporna sejak 2015 namun sehingga hari ini loji air ini tidak boleh digunakan

Malah, struktur loji itu dibina dua kali selepas yang asal dirobohkan apabila didapati tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.

Loji berkenaan kini menjadi ‘gajah putih’ dan jelas satu pembaziran yang tidak sewajarnya berlaku apabila gagal memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar yang sepatutnya menikmati hasilnya.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan projek berkenaan adalah antara yang mendapat perhatian agensi itu dalam siasatan penyelewengan dana awam luar bandar bernilai kira-kira RM1.5 bilion di negeri ini antara tahun 2010 hingga 2016.

Sebelum ini BH melaporkan sebanyak 350 projek KKLW membabitkan 170 projek bekalan air, jalan raya (163 projek) dan bekalan elektrik (17) di sembilan daerah di Sabah membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion dipantau SPRM.

Selain di Semporna, satu lagi projek bekalan air yang turut dipantau agensi itu ialah pemasangan paip dasar laut untuk menyalurkan air bersih ke Pulau Gaya dari tanah besar di sini.

Projek bernilai RM93 juta itu siap pada 13 September 2015 selepas dilaksanakan mulai 26 Disember 2011 menerusi peruntukan KKLW.

Ketua Kampung Pulau Gaya Asli, Nawawi Aripin, ketika dihubungi BH, berkata penduduk pulau itu yang majoritinya adalah nelayan menaruh harapan tinggi masalah air dihadapi mereka selesai dengan pelaksanaan projek berkenaan enam tahun lalu.

“Apabila siap pada tahun 2015, tiada paip untuk mengagihkan air ke semua kampung di pulau ini. Air hanya sampai di tangki besar di atas bukit selain ke sekolah dan resort yang ada di pulau ini.

“Sudah banyak kali kami mengajukan perkara ini kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Air Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), namun sehingga kini tiada tindakan diambil,” katanya.

Keadaan itu, katanya memaksa penduduk di pulau berkenaan membeli air yang dijual peniaga mengangkut air dari tanah besar menggunakan bot dengan harga yang tinggi iaitu RM7 setong (200 liter).

Beliau berkata, setiap rumah biasanya memerlukan tiga tong air untuk keperluan tiga hari atau purata 30 tong sebulan dengan kos boleh mencecah lebih RM200.

‘Gajah putih’ ialah satu simpulan bahasa terjemahan dari bahasa Inggeris ‘White elephant’. Ia bermakna satu barang yang membebankan tuan punyanya tetapi tidak dapat dibuang begitu sahaja dan kos penjagaannya tidak setimpal dengan pulangan atau nilai barang tersebut.

Loading...
scroll to top