Melabur demi rakyat – Ketua Menteri Sabah

SANDAKAN: Kerajaan negeri tidak ragu-ragu untuk melabur dalam projek yang memberi manfaat kepada rakyat, terutama dalam sektor dilihat mampu meningkatkan ekonomi rakyat.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata ini termasuk memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan sektor pelancongan menerusi penyediaan pelbagai kemudahan seperti hotel, resort, inap desa dan restoran bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.

Katanya, peningkatan pelancongan sekaligus memberi peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda mendapatkan pekerjaan.

“Saya rasa penting untuk kita menyediakan hotel, resort, homestay dan kemudahan lain supaya lebih ramai pelancong datang ke Sabah, bukan saja dari Sarawak dan Brunei.

“Mana-mana lokasi yang sesuai untuk dibangunkan dan boleh memberi manfaat kepada rakyat, kerajaan tidak ragu-ragu untuk melabur,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pekan Baharu Ulu Dusun di Agro Bazaar Batu 32, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Datuk Ahmad Bujang.

Pekan Baharu Ulu Dusun berkeluasan 24.2 hektar terletak di persimpangan Batu 32, kira-kira 50 kilometer dari bandar Sandakan.

Mengenai program itu, Musa berkata, kedudukan strategik pekan baharu itu yang menjadi persinggahan pelancong dan laluan utama menghubungkan pantai timur Sabah berupaya merangsang sosioekonomi penduduk.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, pembangunan bandar itu dilakukan secara berperingkat-peringkat oleh agensi dan jabatan kerajaan.

Antaranya, beliau berkata, Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Air, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Jabatan Pendidikan negeri.

Katanya, pekan baharu itu akan menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat.

Loading...
scroll to top