Menantu Hamid Apdal ditahan SPRM

KOTA KINABALU 14 Okt. – Seorang ahli perniagaan berusia 33 tahun menjadi individu kelapan ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi itu terhadap penyelewengan dana kebajikan kerajaan.

Menurut sumber, suspek yang merupakan menantu Hamid Apdal ditangkap di pejabat SPRM di sini pada pukul 5.15 petang ini.

“Hari ini kami menangkap menantu Hamid untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahli perniagaan itu ditahan bagi membantu siasatan terhadap lebih 10 akaun bernilai RM179 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana kebajikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM1.5 bilion antara tahun 2009 hingga 2015.

Sebelum ini, Hamid, 52, yang juga adik kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal merupakan suspek ketujuh ditangkap SPRM pada Selasa lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Loading...
scroll to top