MPV Hanyut, Pelajar ditemui Mati

KOTA MARUDU: Seorang pelajar lelaki yang hilang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya dihanyut arus deras di Kampung Bintasan Darat, awal pagi semalam, ditemui mati.

Mayat Muhammad Asyraf Nirajim, 20, yang juga pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Miri, Sarawak itu ditemui di Sungai Bintasan, pada jam 8.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata mangsa ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat yang diteruskan pagi, selepas kejadian pada jam 3 pagi, semalam.

“Mayat mangsa ditemui oleh orang kampung di Sungai Bintasan, kira-kira 1.3 kilometer (km) dari tempat kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Kota Marudu.

“Operasi yang disertai anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan pada jam 9.45 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, semalam, Muhammad Asyraf, dilaporkan hilang manakala enam lagi yang lain terselamat selepas kenderaan MPV dinaiki mereka, dihanyutkan arus deras di Kampung Bintasan Darat, di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika MPV terbabit melalui kawasan yang dinaiki air, sebelum arus sungai yang deras menghanyutkan kenderaan itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata ketika kejadian kenderaan itu dinaiki tujuh mangsa, namun enam daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui cermin yang dipecahkan. – BH ONLINE

Loading...

Leave a Reply

arrow