Mundur punca kahwin bawah umur tinggi di Sabah, Sarawak

mrs-Winnie-Yee-presiden-SAWO.jpg

Presiden Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo), Winnie Yee

Badan bukan kerajaan (NGO) Sabah berkata kekurangan pembangunan di kawasan pendalaman dan tiada perhatian daripada kerajaan menjadi faktor utama perkahwinan bawah umur berlaku di Sabah dan Sarawak.

Presiden Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo), Winnie Yee berkata, perkahwinan bawah umur sangat tinggi di Sabah dan Sarawak, sementara kanak-kanak di pendalaman tidak faham betapa pentingnya pendidikan.

“Orang Asal bukan Islam di Sabah dan Sarawak mempunyai pilihan untuk mendaftar perkahwinan mereka di bawah undang-undang sivil (LRMA) atau undang-undang adat yang berkaitan.

“Tambahan, tiada umur minimum bagi perkahwinan adat dan pendaftaran di bawah adat masing-masing terpakai dalam senario antara lain, kehamilan remaja yang tidak diingini atau dalam contoh kemungkinan dirogol,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Hannah sebelum ini dilaporkan berkata 10,000 kes perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan beragama Islam berlaku di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, jumlah itu juga merangkumi bilangan perkahwinan adat di Sarawak yang melibatkan kes sangat tinggi.

Mengulas lanjut, Winnie berkata perkahwinan bawah umur bukan Islam di Sabah dan Sarawak tidak memerlukan keizinan menteri besar atau ketua menteri kerana mereka hidup jauh di pendalaman.

“Jadi mereka kahwin sahaja mengikut adat tanpa dokumen yang sah. Selepas itu timbul pula masalah lain iaitu kelahiran anak yang tidak mempunyai kad pengenalan diri.

“Sabah adalah negeri di Malaysia yang paling banyak kanak-kanak tidak mempunyai dokumen yang sah sebagai warganegara kerana ibu dan bapa berkahwin semasa kanak-kanak dan tidak mempunyai pendaftaran perkahwinan yang sah. Itu sudah menjadi masalah ke-2 di Sabah,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menaik taraf sistem di sekolah untuk menarik minat kanak-kanak ke sekolah seperti menambah asrama untuk pelajar perempuan di sekolah menengah.

Katanya, ibu bapa juga perlu diberi penekanan tentang pentinganya pendidikan kepada anak-anak, bukannya perkahwinan.

“Kerajaan, NGO, masyarakat dan orang terdekat perlu bergabung untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk tidak mengahwinkan anak mereka pada umur yang tidak sepatutnya.

“Saya ingin memberi pesanan kepada pemimpin negara, agenda utama kerajaan sepatutnya untuk memberikan hak kanak-kanak di Malaysia belajar semasa mereka masih kecil.” – Free Malaysia Today

Loading...
scroll to top