Dia Akan Pulang

Musa-aman-akan-pulang-sabah.jpg

Musa Aman bukan melarikan diri sebaliknya mendapatkan rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London - Foto Joh Hj Wid

OLEH: Mohd Joh Hj Wid

Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Inilah perumpamaan tentang kepulangan Tan Sri Musa Aman ke tanah air setelah menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London.

Beliau telah membuat keputusan akan kembali ke tanah air walaupun tindakan ini bertentangan dengan nasihat doktor pakar yang merawat beliau di sana.

Namun, sebelum itu dia perlu dirujuk ke Mount Elizabeth Hospital Singapura untuk menerima rawatan susulan. Hospital ini ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu.

Di hospital ini baru saya mengetahui bahawa beliau pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung dan perlu terus melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaannya stabil.

Perkara ini saya nyatakan untuk menjelaskan bahawa beliau bukan melarikan diri, beliau sebenarnya memerlukan rawatan.

Satu perkara yang saya kagumi tentang prinsipnya, beliau tidak pernah mendedahkan kepada umum malah kami sebagai pegawainya bahawa beliau sakit ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri. Beliau tidak mahu memperlihatkan pemimpin sebagai orang yang lemah. Mungkin jika ini didedahkan ia akan menjejaskan keyakinan rakyat, parti pimpinannya malah mungkin pelabur asing terhadap reputasi kedudukan politik dan ekonomi negeri Sabah.

Setelah isu perlantikan Ketua Menteri yang lalu, beliau merasa inilah masa yang sesuai untuk beliau berehat dan menerima rawatan yang terbaik untuk kesihatannya.

Kini, tiba masanya dia akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa paksaan mana-mana pihak.

Joh Wid di The Clementine Churchill Hospital, London

Joh Wid di The Clementine Churchill Hospital, London

Sepanjang bertugas sebagai pegawai khas kepada beliau sejak Julai 2009 dan Setiausaha Politik sejak November 2013, saya belajar banyak perkara tentang moral kepimpinan.

Beliau sentiasa menasihatkan bahawa kita perlu ikhlas melaksanakan tanggungjawab kita demi kepentingan negara, negeri dan rakyat khususnya di negeri Sabah. Beliau kuat bekerja dan begitu teliti tentang pengurusan kewangan.

Beliau sanggup korbankan kepentingan kesihatan dirinya sendiri demi negeri Sabah. Melawat beliau di Hospital di Kota London dan mengiringi beliau pulang cuma pengorbanan kecil dari saya. Biarpun pengorbanan ini tidaklah sebesar mana, mungkin tidak cukup untuk membalas jasa baik beliau yang telah memberikan peluang kepada saya belajar. Sama-sama kita doakan semoga Tan Sri cepat sembuh seperti biasa dan diberi kekuatan.

Terima kasih ayah dan ibu serta isteri, anak-anak dan keluarga yang merestui saya berjuang bersama beliau.

Sempena Hari Raya korban tahun ini, marilah kita sama-sama menghayati erti pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail. Semoga setiap pengorbanan kita mendapat rahmat dari Allah SWT. Amin

Salam Aidiladha
Ikhlas,
Joh Wid

Tulisan asal oleh Mohd Joh Hj Wid Bekas Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah

Kelihatan Datin Seri Faridah Tussin serta Yamani Hafez sedang memerhati Musa Aman semasa mendapat rawatan di luar negara – Foto Mohd Joh Hj Wid

Loading...
scroll to top