Musa Mahu Anak Sabah Terajui UMS

Musa-mahu-anak-sabah-terajui-ums.jpg

MUSA Mahu Anak Sabah Terajui UMS

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah menyampaikan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung hasrat supaya pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu adalah dalam kalangan anak negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata isu pelantikan Naib canselor UMS yang baharu itu mendapat perhatian ramai termasuk mereka yang berada dalam Barisan Nasional (BN) Sabah.

Beliau berkata, perkara itu telah dibawa ke Kabinet Negeri untuk perbincangan dan semua bersetuju bahawa isu ini memerlukan perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Saya telah membangkitkan isu ini dengan menteri yang bertanggungjawab dan menyuarakan harapan bahawa Naib Canselor UMS yang baharu adalah dari Sabah.

Saya percaya kita mempunyai individu berkelayakan yang boleh melakukan tugas terbabit,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Musa juga meminta semua pihak supaya bertenang kerana tiada keputusan lagi dibuat mengenai pelantikan itu.

“Saya juga meminta media terutama media sosial tidak menggembar-gemburkan perkara itu.

Saya tahu perkara ini akan dijadikan isu politik oleh pembangkang, “katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Lembaga Pengarah UMS mencadangkan dua calon bukan anak Sabah untuk mengambil alih jawatan Naib Canselor daripada Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah yang bersara bulan ini.

Cadangan itu menimbulkan bantahan dalam kalangan pelbagai pihak di Sabah yang menyifatkannya sebagai mengetepikan calon anak jati negeri ini.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebook Rasmi Ketua Menteri Sabah

Loading...
scroll to top