Musa masih dirawat di hospital

Musa-masih-dirawat-di-hospital.jpg

TAN Sri Musa Aman, masih menerima rawatan di hospital.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, masih menerima rawatan di hospital dan belum pasti bila dapat pulang ke Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Peguamnya, Amer Hamzah Arshad, berkata Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga masih dalam pemantauan doktor di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor.

“Saya hanya boleh katakan Tan Sri Musa masih lagi dalam pemantauan (doktor). Bukan kedudukan saya untuk bercakap bila beliau dibenarkan keluar (daripada hospital) atau bila dijangka pulang (ke Sabah),” katanya.

Musa masih mempunyai baki 15 hari sahaja lagi untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN Sabah atau bakal kehilangan kerusi jika gagal berbuat demikian sehingga 11 September.

Musa yang berada di London sejak pertengahan Mei lalu kerana dilaporkan mendapatkan rawatan kesihatan, kembali ke Malaysia pada 21 Ogos lalu dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Beliau dilaporkan akan mengangkat sumpah di DUN Sabah pada Jumaat lalu namun tidak berbuat demikian selepas dikatakan perlu menjalani rawatan lanjut di hospital.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata polis dijangka menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini berhubung kes ugutan jenayah membabitkan Musa terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Loading...
scroll to top