Musa nasihatkan Shafie supaya tidak panik

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini membidas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal kerana menggunakan taktik untuk mengalihkan perhatian daripada penglibatan dalam siasatan rasuah.

Menjawab sindiran Shafie di Dewan Rakyat hari ini mengaitkan beliau dengan kronisme, Musa mencabar Ahli Parlimen Semporna itu berdepan siasatan seperti orang yang budiman jika tidak melakukan kesalahan.

“Shafie perlu membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau berkhidmat sebagai menteri,” kata Musa dalam kenyataan.

Musa menasihatkan Shafie agar lebih bertenang menangani siasatan itu daripada melempar tuduhan dan cuba membabitkan orang lain.

“Tidak perlu panik,” katanya.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan kalau kamu tidak salah seperti peribahasa Melayu, ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.”

Musa berkata sehingga hari ini beliau tidak mengulas kes itu walaupun diserang secara terbuka dalam wacana politik dan media sosial.

Beliau juga memulangkan tuduhan itu kepada Shafie.

“Bagaimanapun, hari ini saya terpanggil untuk berkata sesuatu kerana di Parlimen dia cuba membabitkan saya dengan mengatakan seseorang yang mempunyai hubungan dengan saya mendapat projek,” kata Musa.

“Saya tidak tahu menahu mengenai projek itu. Saya ada keluarga yang besar. Saya tidak boleh halang mereka yang mesra dengan Shafie menerima projek.”

Musa berkata Shafie harus lebih berkelakuan seperti seorang budiman dan tidak menggunakan kekebalan Parlimen dan taktik untuk mengalihkan perhatian daripada dirinya.

SPRM menahan individu daripada pihak parti pemerintah dan pembangkang dalam siasatan ke atas kes rasuah di negara ini, kata Musa.

“Isu kononnya kes ini bermotifkan politik tidak timbul kerana SPRM menahan orang daripada parti pemerintah dalam banyak kes lain.”

Beliau berkata SPRM harus dibiarkan menjalankan siasatan rasmi tanpa gentar atau pilih kasih dan tentu sekali tanpa drama daripada orang yang terlibat dalam kes itu.

“Mungkin sesetengah orang ada masa untuk merungut atau gembar-gembur tetapi bukan saya kerana saya ada sebuah negeri untuk dijaga,” katanya.

Awal hari ini, di Dewan Rakyat, Shafie mendakwa loji rawatan air (LRA) RM48 juta di Semporna yang sedang disiasat SPRM diberi kepada ahli keluarga Musa.

Presiden Warisan itu berkata demikian bagi menafikan dakwaan projek itu dikaitkan dengan syarikat proksi beliau.

“Tender dibuka. Yang dapat projek anak buah Musa Aman. Syarikat dia. Antara lain, perunding yang melakukan projek itu ialah setiausaha perhubungan Pemuda Umno Sabah sekarang,” katanya semasa membahaskan Bajet 2018.

Menurut Shafie, LRA itu dinaik taraf dan siap tahun lalu, namun projek RM48 juta itu tidak mencapai kualiti sepatutnya dan gagal berfungsi ekoran kekurangan air.

Projek LRA Sungai Intan dikatakan antara 70 projek yang disiasat SPRM dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana yang diperuntukkan kementerian untuk projek luar bandar di Sabah.

Projek yang dilaksanakan dari 2009 hingga 2015 itu ketika Shafie memegang portfolio itu.

Shafie berkata projek LRA tidak mungkin diteruskan tanpa persetujuan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Macam mana ia diselesaikan? Datang tohmahan kononnya ia merupakan syarikat proksi kepada Shafie dan saya memegang 20% syer,” katanya.

Shafie turut melafazkan sumpah taklik di dalam Dewan Rakyat.

“Wallahi Wabillahi Watallahi dengan nama Allah yang Maha Kuasa saya tidak tuduh sesuatu perkara. Ini adalah realiti. Saya berharap agar perubahan kerajaan berlaku dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

arrow