Nenek bersama 16 ahli keluarga rayu bina rumah baharu

PAPAR: Seorang nenek yang mendiami sebuah khemah bersama 16 ahli keluarga, termasuk tujuh anak, seorang menantu dan lapan cucu dekat Kampung Belatik, Kimanis, di sini, merayu bantuan bagi membina rumah yang sempurna untuk mereka berteduh.

Kinoi Terawi, 65, bersama keluarga terpaksa tinggal dalam khemah di tapak rumah mereka yang terbakar sejak Julai lalu, kerana tidak mampu membina semula kediaman baharu, manakala ahli keluarga lain bekerja dengan gaji tidak seberapa dan sekadar cukup makan.

“Pendapatan ahli keluarga tidak banyak. Kami tidak mampu membeli bahan membina rumah baharu. Jadi, kami cuma mengharapkan pihak berwajib atau orang ramai memberi apa saja bentuk sumbangan ikhlas.

“Seminggu selepas rumah terbakar, kami membuat permohonan mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak.

“Setakat ini, kami ada menerima bantuan 16 tiang kayu dan 20 keping zink disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagaimanapun, kami berharap ada lagi pihak sudi membantu dengan menyumbangkan barangan kelengkapan lain bagi membina rumah baharu,” katanya ditemui di khemah itu.

Kinoi yang juga suri rumah, berkata mereka sekeluara juga kekurangan keperluan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.

“Jiran yang tinggal di hadapan, yang bersimpati menyambungkan saluran air dan elektrik ke khemah kami diami. Mereka juga menyumbangkan kipas untuk mengurangkan rasa bahang panas.

”Kami bersyukur kerana penduduk kampung turut memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk terutama pakaian lama untuk cucu saya khususnya.

”Saya masih ingat, selepas kebakaran itu, penduduk kampung bergotong-royong menebang buluh di tebing sungai sebelum membina khemah yang kami diami ini. Khemah dan langsir pula saya beli hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin,” katanya.

Cucu Kinoi berusia setahun hingga 12 tahun, manakala anak dan menantu berusia belasan tahun hingga lewat 20-an.

Orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan boleh menghubungi anak perempuan Kinoi, Norasimeh Asmat menerusi talian 016-808 2710.

Loading...

Leave a Reply

arrow