Ops Bersepadu KK: 6 Lokasi PTI Diserbu

Operasi-Bersepadu-Kota-Kinabalu.jpg

PATI yang ditahan menjalani Proses Pemeriksaan Dokumentasi

KOTA KINABALU: Kanak-kanak berumur setahun antara yang ditahan dalam Ops Bersepadu Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra berkata seramai 41 PTI ditahan melibatkan warga Filipina dan Indonesia.

Katanya operasi terbabit dilaksanakan di enam lokasi serbuan termasuklah rumah setinggan dan rumah kongsi.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, seorang lelaki ditangkap atas kesalahan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ops Bersepadu PTI

Ops Bersepadu PTI di sekitar Kota Kinabalu

“Seramai 37 warga Filipina ditahan termasuk 17 kanak-kanak manakala tiga lagi warga Indonesia.

“Operasi ini dijalankan di enam lokasi sekitar kawasan Luyang, Inanam serta Manggatal dan kesemua yang ditangkap berumur dalam lingkungan setahun hingga 65 tahun,” katanya di sini kelmarin.

Pihaknya memulakan operasi di kawasan terbabit kira-kira jam 1 pagi dan ia berjalan selama sembilan jam.

Menurutnya semua PTI yang ditahan dibawa ke lokap berpusat Kota Kinabalu selepas menjalani proses dokumentasi di IPD Kota Kinabalu.

“Tumpuan lokasi operasi bertujuan mencegah jenayah di kawasan yang berpotensi sebagai sarang penjenayah serta pengedaran dadah di kawasan bandaraya.

“Selain itu, sebanyak 40 rumah ditanda dan akan dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu ( DBKK) dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, beberapa punca bekalan elektrik di kawasan itu turut diputuskan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Loading...
scroll to top