OPS GASAK 31 Buah Rumah Dirobohkan di Tawau

Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) yang yang menyertai OPS Gasak 31 iaitu operasi bersepadu yang dikendalikan oleh ESSCOM di kawasan Zon Sabah (Daerah Tawau) baru-baru ini merobohkan 31 buah rumah haram dan memeriksa 101 orang.

Objektif Operasi itu diadakan adalah untuk menggempur lokasi-lokasi yang dikenalpasti sebagai laluan penyeludupan, kegiatan pelbagai jenayah dan penempatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara haram. Sasaran utama OPS Gasak 31 ini adalah di kawasan bakau di sekitar Kg Jelutong, Sg Udin dan Merotai. Seramai 358 anggota dari pelbagai Agensi-Agensi Penguatkuasaan dan Keselamatan.

Seramai 66 orang daripada anggota tersebut adalah dari Jabatan Perhutanan Sabah yang menyertai operasi tersebut dengan menggunakan 17 buah kenderaan pacuan empat roda dan 3 buah bot laju.. Kawasan-kawasan bakau yang terlibat merupakan kawasan bakau simpanan untuk Perikanan (Akuakultur) berstatus tanah kerajaan di daerah Tawau.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan memaklumkan bahawa dalam OPS Gasak 31, seramai 66 orang anggota JPS tersebut telah membantu dalam operasi meroboh dan memusnahkan struktur-struktur pembinaan seperti rumah, pondok jeti dan lain-lain bangunan yang didirikan secara haram di kawasan bakau (tanah kerajaan).

Menurutnya kuasa terhadap kawasan tanah kerajaan adalah di bawah seksyen 23 Enakmen Hutan 1968 manakala kuasa meroboh struktur bangunan adalah selaras dengan kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Tawau yang mana menggunakan Authority mereka untuk memberi kebenaran meroboh struktur bangunan dalam kawasan tanah kerajaan tanpa membuat sebarang sitaan terhadap harta benda.

Menurut Pengarah JPS operasi selama sehari itu telah dilaksanakan dengan jayanya yang mana rombongan Ops Gasak 31 telah berjaya merobohkan sebanyak 31 buah rumah dan telah memeriksa (screened) 101 orang dan seterusnya memberkas seramai 10 orang kerana tiada domumen pengenalan diri dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Dalam operasi tersebut 19 notis keluar daripada kawasan bakau (tanah kerajaan) telah dikeluarkan kepada penghumi yang mendiami secara haram dalam kawasan bakau (tanah kerajaan) tersebut. Sekiranya mereka enggan untuk berpindah dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka tindakan untuk meroboh rumah mereka akan diambil dalam operasi yang akan datang.

Beliau berkata tindakan susulan akan diambil untuk memantau ke kawasan berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan PATI atau orang tempatan tidak akan masuk semula ke kawasan berkenaan di masa hadapan.

Sam merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan Ops Gasak 31 tersebut dan beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan OPS Gasak31 khususnya kepada pihak ESSCOM, PDRM, ATM, APMM, Penguatkuasa MPT, Task Force, Imigresen, Jabatan Perikanan, Pertahanan Awam dan lain-lain Agensi Penguatkuasaan yang terlibat.

Beliau berharap kerjasama yang berterusan dan padu dari semua agensi-agensi penguatkuasaan dan pihak keselamatan, demi memelihara khazanah kawasan bakau negeri ini dan juga keselamatan serta ketenteraman awam di negeri Sabah.

Loading...
scroll to top