Pakar Bom Asal Tawau Antara diburu Tentera Filipina

Mohd Amin Baco, asal Tawau dikenali sebagai pembuat bom bersembunyi di Basilan dan pulau Jolo sebagai pangkalan untuk operasi IS di Asia Tenggara

The Manila Times, menerbitkan gambar Amin, 31, dari Tawau baru-baru ini

Tentera Filipina sedang memeriksa sama ada militan Malaysia, Mohd Amin Baco, masih hidup dalam kepungan di bandar Marawi, selatan Filipina.

ABS CBN News hari ini melaporkan jurucakap tentera Mejar Jeneral Restituto Padilla Jr menyifatkan Amin, seorang warga Sabah, sebagai “pemimpin pengganas terkemuka” dan seorang “komander”.

Sumber keselamatan memberitahu FMT bahawa kerajaan Malaysia percaya 3 rakyat Malaysia termasuk Amin masih berada di Marawi selepas media melaporkan kematian militan Malaysia paling dikehendaki, Mahmud Ahmad.

Kerajaan Filipina berkata saki baki militan yang bersekutu dengan IS, termasuk warga Malaysia dan Indonesia, masih berkubu di kawasan pertempuran utama di bandar itu ketika operasi sedang dijalankan untuk mengusir mereka keluar.

Amin dilaporkan antara anggota kumpulan Darul Islam Sabah di daerah Tawau yang diharamkan.

Mereka dilaporkan menggunakan tempat persembunyian militan Abu Sayyaf di Basilan dan kepulauan Jolo di selatan Filipina sebagai pangkalan ejen IS di Asia Tenggara.

Amin dan Jeknal meninggalkan Malaysia untuk menyertai Abu Sayyaf pada 2010.

Sumber tidak terkejut tentera Filipina percaya Amin pemimpin dalam saki baki militan itu memandangkan dia sudah bertahun berada di selatan Filipina dan boleh berbahasa tempatan dengan fasih.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan Marawi bebas daripada unsur pengganas ketika operasi masih berjalan untuk mengusir saki baki militan, yang menyerang bandar itu pada 23 Mei.

Pengumuman itu menyusuli pembunuhan emir IS di Asia Tenggara, Isnilon Hapilon, dan pengasas bersama kumpulan militan Maute, Omar Maute.

Kumpulan Abu Sayyaf dan Maute dilaporkan bertanggungjawab untuk peperangan yang berlaku di bandar itu.

Lebih 1,000 orang, kebanyakannya militan, terbunuh dalam pertempuran antara militan dan tentera kerajaan. Free Malaysia Today

Loading...
arrow