PAN BORNEO HIGHWAY -DI SINI BERMULANYA SEBUAH CINTA

PAN BORNEO HIGHWAY – DISINI BERMULANYA SEBUAH CINTA
Sambungan (Bahagian Akhir)

Semalam Isnin tanggal 19 Oktober 2014, saya bertolak dari KL sekitar jam 11.45 pagi. Cuaca agak redup, tak hujan tak panas. Kereta sewa Proton Pesona menyusuri Bulatan Pahang dan seterusnya menuju ke Batu Caves. Tepat jam 12 tengah hari saya mulai masuk ke Lebuhraya Karak. Saya membayar RM5. Tertulis Kuantan 240KM. Tempat yang saya tuju.

SMS NEWS PORTAL

Pan Borneo Highway

Karak Highway yang merentasi banjaranTitiwangsa begitu megah dan cantik. Dua jalanraya yang dibina berdekatan. Dibina 6 lorang, 3 lorong untuk setiap hala. Karak Highway sejauh 60 kilometer dibina pada tahun 1970 oleh kerajaan Persekutuan sebagai jalan alternative kepada Jalan Gombak-Bentong yang dibina British pada 1900. Jalan Gombak-Bentong atau dikenali sebagai Genting Kelang-Pahang Highwaybermula di Setapak Kuala Lumpur.

Karak Highway dibuka sepenuhnya pada kenderaan awam pada 1977 selepas dirasmikan Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk Ghani Gilong (sekarang Tan Sri GhaniGilong). Kos pembinaannya agak tinggi,selain membina dua jalanraya, bukit Genting Sampah juga ditebuk untuk membuat dua terowong atau “twin tunnel” sejauh 900 meter tak jauh daripada Genting Highlands. Untuk menampung kos penambahbaikkan, Karak Highway dijadikan highway bertol dengan membina dua plaza tol pada tahun 1979.

Sewaktu melalui terowong, saya teringat Tan Sri Ghani Gilong. Ghani adalah wakil rakyat Ranau yang pertama dan salah seorang pemimpin terawal Sabah yang turut serta dalam perundingan pembentukan Malaysia. Beliau asalnya daripada parti UPKO sebelum menyertai USNO setelah parti UPKO pimpinan Tun Stephens dibubarkan pada Oktober 1967. Kenapalah masa jadi Menteri JKR Persekutuan dulu, Ghani tidak mendesak dengan kerajaan Persekutuan membina satu highway yang lebih baik dari KK ke Ranau, hati saya seolah-olah berbisik.

Saya memang tidak suka memandu laju. Saya memerhati pokok-pokok dan pemandangan di sekeliling. Kadang-kadang berbicara dengan angin dan unggas. Ada ketikanya saya bercakap sendirian. Sebab itu saya jarang bawa teman bila memandu, bimbang disangka saya gila kerana cakap sendirian. Walaupun memandu dengan perlahan, saya tidak bosan. Tidak perlu risau mengelak lubang besar atau lubang kecil atau buah kelapa sawit yang terjatuh dari lori seperti jalan Sandakan, Lahad Datu atau Tawau. Kereta-kereta kecil sepeti Viva danKancil memotong dari sebelah kanan dengan laju.

Tak lama kemudian saya tiba di Tol Bentong. Sekali lagi bayar toll. Kali ini lebih murah, RM3 sahaja. Bentong adalah sebuah daerah yang terkenal dalam buku sejarah sebagai sarang kominis semasa darurat dulu. Sekarang orang Umno kata komunis ini tiada lagi di Bentong, sudah berpindah dan bersarang di Pulau Pinang kerana ia telah dikuasai DAP.

Sekitar jam 1 tengah saya sampai Plaza tol memasuki Lebuh Raya Pantai Timur. Daripada 6 lorong memasuki 4 lorong. Lebuh Raya Pantai Timur menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung. Lebuhraya ini sepanjang 350 kilometer, merupakan sambungan daripada Karak hingga ke Chendering di Kuala Terengganu. Kos asal pembinaan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM 3 bilion.

“Seorang berapa?” Saya bergurau dengan attendan yang bertudung. “Abang tak payah bayar. Bayar bila keluar” jawabnya dengan senyuman sambil menyerah tiket.

Tertulis di papan tanda Kuantan 172 KM. Mungkin dalam sejam dua lagi saya akan sampa di Kuantan, bisik hati saya. Rasa terkedu juga bila teringatkan perjalananan dengan keluarga dari KK ke Ranau dua minggu yang lalu. Perjalanan yang tak sampai 300 KM mengambil masa lebih 6 jam untuk sampai ke Sandakan. Satu perkara yang mesti saya lakukan bila sampai di Sandakan ialah makan Soto Makassar. Kadang-kadang dalam sehari saya makan tiga atau empat kali. Soto Makasar Sandakan, memang best dan sedap.

Bilalah agaknya rakyat Sabah dapat highway seperti di Semenanjung? Pan Borneo Highway dah berkali-kali diperdebatkan dalam DUN Sabah dan dewan rakyat. Ramai tertanya-tanya bagaimana agaknya keadaan jalanraya Pan Borneo yang dijangka siap pada tahun 2025 itu?Adakah highway itu seperti Karak Highway atau seperti Lebuh Raya PantaiTimur?

Selain Lebuh Raya PantaiTimur yang dibina hingga ke Chendering ini, Kerajaan Persekutuan juga telah membina Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) FASA 2, iaitumenghubungkan:-

1) Kuala Terengganu – Telemung – Ajil – Bukit Besi – Dungun – Paka (sudahsiapdanbolehdilalui)
2) Paka – Kerteh (masihbelumsiap)
3) Kerteh – Kijal (sudahsiapdanbolehdilalui)
4) Kijal – Chukai – Cheneh (masihbelumsiap)
5) Cheneh – Jabor (bolehdilaluimulai 21 Julai 2014)

Lebuh raya ini hampir siap sepenuhnya. Alangkah bertuahnya rakyat negeri Terengganu yang kaya dengan petroleum dan gas.

Kira-kira 40 minit memandu, saya singgah di Perhentian Lanchang. Rehat sekejap menikmati buah betik yang manis dan buat pertama kali saya menikmati buah keranji. Teringat pantun :

[quote bgcolor=”#e0e0e0″]“Buah Keranji ,dalam perahu, sudah berjanji ,buat-buat tak tahu”[/quote]

Janji membina Pan Borneo Highway telah dibuat Tunku Abdul Rahman Putra kepada pemimpin Sabah dan Sarawak sebaik sahaja Malaysia Agreement ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Lebuhraya Pan Borneo yang juga dipanggil Trans Borneo Highway, sebuah jalanraya yang bakal menghubungkan dua negeri Malaysia di Pulau Borneo, Sabah and Sarawak, dengan Brunei. Pan Borneo merupakan “joint project” antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Bahagian yang dihubungkan Sarawak, Sabah, dengan Brunei adalah the Lawas–Temburong (Brunei) yang telah siap pada 1997.

Panjang keseluruhan lebuhraya Pan Borneo adalah 2,239 KM, iaitu sepanjang 2,083 kilometer atau 1,294 batu di kawasan Malaysia. Dalam satu kenyataan Timbalan Menteri JKR, Datuk Rosnah Shirlin mengatakan pada 2002, lebihkurang 95.2% (997.18 kilometres or 619.62 miles) lebuhraya itu telah pun siap. Tenom–Sipitang siap pada 2006. PembinaanKalabakan – Sepulut dijangka bermula pada 2008, dan Pan Borneo Highway dijangka siap dalam RM9 (RM9 berakhir tahun ini).

Membaca kenyataan menteri-menteri JKR membuatkan saya keliru. Begitu juga sebahagian besar rakyat Sabah. Kenapa mereka tidak berterus-terang mengatakan Pan Borneo itu sebenarnya sudah hampir siap sepenuhnya kerana Pan Borneo Highway yang di war-warkan bernilai RM27 bilion itu sebenarnya merujuk kepada jalanraya yang telah dibina sejak 1963 lagi. Pan Borneo bukanlah sebuah highway baru. Bajet yang diumum hanya untuk membina beberapa selekoh untuk memotong dan Pan Borneo bukanlah standard Highway tetapi jalan Persekutuan biasa seperti yang terdapat di kawasan kampung di Semenanjung Malaysia.

Saya rasa PM sungguh bijak melantik anggota kabinetnya dengan memilih dua pemimpin muda dari Sarawak dan dari Sabah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri JKR Persekutuan. Barangkali pemimpin Persekutuan itu berpendapat, biarlah orang dari Borneo yang jawap janji yang dibuat pemimpin-pemimpin Persekutuan menggunakan kebihaksanaan mereka sendiri.

Ternyata dua pemimpin ini membuat kenyataan bercelaru dan kadang-kadang bercanggah. Dalam kenyataannya terbaru, menteri dan timbalannya menjelaskan Sabah diperuntukkan RM 9.5 billion Sarawak sebanyak RM12.5 billion yang dibuat secara berperingkat. Daripada jumlah itu masing-masing menerima RM50 juta tahun lalu. Oleh kerana kos pembinaan Pan Borneo dianggap begitu tinggi iaitu sebanyak (Rosnah kata RM22 bilion, Fazilah kata 27 bilion), sebab itu ia dibuat secara berperingkat sehingga siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Yang disebut billion-bilion ini sebenarnya cerita atas kertas. Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan bukan untuk membina sebuah lebuhraya seperti Karak Highway atau Lebuh Raya Pantai Timur, jauh sekali membina jalanraya seperti PLUS dan lain-lain lebuhraya di Semenanjung. Pan Borneo hanyalah sebuah projek menambahbaik jalanraya yang dibina British pada awal tahun 20an dan 30an di Sabah dan Sarawak, kecuali beberapa jalan baru seperti Sapulut-Kalabakan.

Sebelum jam 3 petang saya tiba di Plaza Tol Kuantan. Membayar RM19.60 selepas menyerah tiket. Keseluruhannya saya membayar tak sampai RM28 menggunakan dua highway yang begitu bagus, sejauh lebih kurang 260KM dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Walaupun saya tidak memandu laju, namun sampai ke destinasi lebih kurang 3 jam.

Kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang tak sabar menunggu 2025 untuk menggunakan Highway baru, lupakan lah angan-angan tersebut. Pan Borneo sudah terbentang depan mata. Pandulah dari Kuching, Miri, Limbang, Lawas, Sipitang, Beaufort, KK, Ranau, Telupid, Lahada Datu dan Tawau. Itulah Pan Borneo. Berhenti di Tawau, terus saya teringat ucapan Datuk Ghafur Saleh di Parlimen baru-baru ini, “Pan Borneo Highway telah dirampok”.

Loading...
scroll to top