Pelancong wanita warga Korea mati lemas di kolam renang

Pelancong-wanita-warga-Korea-mati-lemas-di-kolam-renang.jpg

Sunhee Choi, Pelancong wanita warga Korea mati lemas di kolam renang

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Korea ditemukan tidak sedarkan diri akibat lemas di kolam renang sebuah resort di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata mangsa yang dikenali sebagai Sunhee Choi, 52, dipercayai mandi di kolam berkenaan bersama anak perempuannya yang berumur 27 tahun, kira-kira jam 1 petang.

Menurutnya sebelum kejadian, mangsa mandi bersama anaknya dan selepas kira- kira 10 minit mandi, anaknya naik ke tepi kolam untuk berehat.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas 10 minit berehat di tepi kolam, anaknya terdengar bunyi jeritan yang mengatakan ada orang lemas di kolam.

“Anak mangsa segera terjun ke dalam kolam untuk memberikan bantuan dan menjadi panik selepas mendapati mangsa yang lemas adalah ibunya sendiri.

“Bahagian keselamatan resort turut membuat bantuan pernafasan (CPR)sementara menunggu ambulans tiba.

“Ketika anggota keselamatan memberikan bantuan CPR, terdapat sisa makanan serta cecair merah keluar dari mulut mangsa,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.36 petang Ahad lepas.

Chandra berkata siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan tiada unsur jenayah serta sebarang kecederaan dialami pada tubuh badan mangsa.

Katanya kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan, mangsa dan anaknya datang ke Kota Kinabalu pada 11 November lepas dan mendaftar untuk menginap di resort berkenaan pada hari yang sama.

Menurutnya kedua- dua warga Korea itu datang ke Kota Kinabalu secara persendirian tanpa melalui ejen untuk bercuti.

Loading...
scroll to top