Pemuda Umno Sabah yakin mampu kembalikan sokongan Sabahan

Pemuda-UMNO-Sabah-Mahu-Memenangi-Kepercayaan-Sabahan.jpg

Barisan Ketua Pemuda UMNO bahagian 2018 bergambar selepas Mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sabah yang diadakan kelmarin - Foto PPUN Sabah

KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah yakin akan mampu memenangi kembali sokongan belia di negeri ini dengan menjadi platform suara rakyat di semua peringkat akar umbi.

Ketua Pemuda Umno Negeri Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, kedudukan Umno pada masa kini sebagai blok pembangkang akan menjadi kelebihan utama kepada parti.

“Secara fitrah, anak muda ini jiwanya adalah pembangkang dan saya fikir Umno sebagai pembangkang mempunyai kelebihan, dan kita hanya perlu ‘ connect’ untuk mendapatkan kepercayaan mereka kembali.

“Apa- apa yang dibuat oleh kerajaan Pusat yang baik untuk rakyat akan kita sokong dan apa- apa yang tidak bermanfaat kepada rakyat kita akan suarakan sebab kita komited menjadi platform untuk menyuarakan pendapat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Umno kali pertama bagi sesi penggal 2018-2021 di Bangunan Umno negeri di sini pada Khamis.

Menurut Aziz, Pemuda Umno sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri juga sudah menyusun pelbagai strategi untuk kembali memenangi hati rakyat terutama dalam kalangan pemuda di negeri ini.

Katanya, antara salah satu kaedah adalah dengan memperkenalkan Halaqah Ilmu Pemuda ( HIP) sebagai medan pengukuhan hubungan, ilmu dan gerak kerja parti di samping memahami isu setempat dan budaya.

“HIP adalah lebih kepada bertemu rakyat di peringkat akar umbi untuk bertukar ilmu, mengenal hati budi selain mengukuhkan kesatuan pemuda di peringkat bawah dan atasan.

“Bagi negeri ini, kita sudah memulakannya di empat bahagian iaitu Kudat, Kota Marudu, Pensiangan serta Keningau dan seterusnya kita pergi ke semua bahagian mengikut zon kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata barisan Pemuda Umno Sabah juga memberikan sokongan penuh kepada usul Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menurunkan had umur keahlian dari 18 ke 16 tahun.

Katanya, ia seiring dengan cadangan kerajaan yang kini berhasrat meminda syarat minimum hak pemilih seawal usia 18 tahun.

“Cadangan ini bukanlah perkara baharu untuk had umur diturunkan kepada 16 tahun kerana saya fikir kita harus bersiapsiaga supaya tidak tergelincir daripada matlamat mengundi.

“Kita juga tidak mahu anak-anak muda ini dirosakkan dengan agenda lain dalam politik… itu sebab kita siap siagakan mereka,” katanya.

Loading...
scroll to top