Pendekatan Praktikal, Efektif

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman bersama Ketua Laksamana Diraja Malaysia, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin melakukan gimik pelancaran untuk menandakan operasi Ibu Pejabat Tentera Laut Diraja Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Sandakan pada hari Isnin.

SANDAKAN: Pengoperasian Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) amat penting dan kritikal bagi memastikan kedaulatan kawasan perairan negara khususnya di pantai timur Sabah sentiasa terpelihara.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, pengoperasian itu juga seiring dengan landskap geo-politik semasa yang begitu pantas berubah dan semakin mencabar, yang menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan pendekatan yang lebih praktikal dan efektif bagi memelihara keselamatan perairan negara.

Katanya, perbezaan geostrategik antara pantai barat dan pantai timur negeri ini memerlukan strategi serta pendekatan baharu yang lebih tersusun, sistematik dan bersesuaian dengan keadaan perairan di kedua-dua kawasan operasi maritim.

“Saya percaya pengoperasian MAWILLA 2 ini berupaya meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan serta kecekapan dan pengurusan operasi TLDM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pengoperasian Markas Wilayah Laut 2 di Pangkalan TLDM Sandakan, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Armada Timur Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman; Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob; Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman; Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Ramli Din; serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Datuk Rodzi Md Saad.

Dalam majlis itu, Musa turut meluangkan masa bertemu ahli Rakan Komuniti Maritim (RAKAM) yang terdiri daripada nelayan, pengusaha resort dan feri serta pengusaha syarikat-syarikat kapal dagang.

“Saya juga menyambut baik inisiatif TLDM melancarkan Aplikasi K3M (Kesedaran, Keselamatan Komuniti Maritim) untuk memudahkan mereka meminta bantuan Ketua Menteri sekiranya berlaku situasi kecemasan serta melaporkan sebarang insiden dan aktiviti mencurigakan di kawasan perairan negara.

“Segala usaha dan inisiatif kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pertahanan dan ATM jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan keselamatan negara dan rakyat di perairan negeri ini sentiasa terpelihara.

“Saya juga selalu menekankan akan pentingnya peranan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan perairan dan pulau-pulau agar sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan. Ia penting agar apa juga ancaman daripada aspek keselamatan dapat kita tangani secara bersama dengan lebih pantas dan berkesan,” jelasnya.

Penstrukturan semula organisasi TLDM pada awal 2017 telah melihatkan Armada TLDM dibahagikan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat yang terletak di Pangkalan TLDM Lumut, Perak dan Markas Pemerintahan Armada Timur yang berpusat di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sabah.

Sejajar dengan perkembangan itu, Kawasan Tanggungjawab (KTJ) MAWILLA 2 telah dikhususkan untuk menjaga keselamatan perairan pantai timur Sabah.

Justeru, perpindahan lokasi pengoperasian MAWILLA 2 dari PTKK ke Pangkalan TLDM Sandakan (PTS) sejak 30 Ogos lepas adalah satu langkah strategik bagi memastikan markas mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih efektif dan efisien. Sebelum ini, PTS dikenali sebagai Pangkalan Operasi Hadapan Sandakan.

Pengoperasian MAWILLA 2 di Sandakan mempamerkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan di perairan timur Sabah terutama di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) berada pada tahap yang tertinggi.

Perpindahan lokasi MAWILLA 2 ke Sandakan adalah sangat penting dan kritikal dalam memastikan sebarang tindakan keselamatan sama ada yang bersifat cegah rintang ataupun tindakan susulan dapat diambil secara lebih efektif dan efisien.

Selain itu, lokasi baharu markas ini dipercayai amat bersesuaian dan bertepatan berdasarkan kedudukan geostrategik serta peningkatan kepentingan Laut Sulu dan Laut Sulawesi sebagai salah satu laluan maritim antarabangsa yang utama.

Pengoperasian MAWILLA 2 di Sandakan turut dilihat sebagai satu keperluan yang penting dan kritikal sejajar dengan pelaksanaan teras hala tuju Kementerian Pertahanan yang menekankan aspek kesiapsiagaan aset-aset ketenteraan sentiasa berada di tahap tertinggi di samping menjamin keselamatan perairan maritim negara daripada ancaman seperti militan Daesh, Abu Sayyaf dan penculikan.

Markas kini mempunyai lapan kapal ronda bersama lima bot kombat (CB90) dan enam bot Silverbreeze yang mampu melaksanakan sebarang tugas pintasan dengan pantas.

TLDM merancang untuk melengkapkan markas ini dengan aset-aset yang lebih canggih serta terbaharu bagi memastikan tiada anasir luar yang boleh menceroboh dan seterusnya mengganggu-gugat keamanan serta keselamatan perairan maritim negara.

“Saya percaya pengoperasian MAWILLA 2 ini berupaya meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan serta kecekapan dan ” pengurusan operasi TLDM.

Loading...
scroll to top