Penduduk Semporna kecewa Loji Sungai Intan tidak berfungsi

Penduduk-Semporna-kecewa-Loji-Sungai-Intan-tidak-berfungsi.jpg

SEMPORNA: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Intan di sini yang siap tahun lepas dan sepatutnya membekalkan air kepada kira-kira 1,800 penduduk di Kampung Sungai Intan dan kawasan sekitar tidak dapat dimanfaatkan sehingga ke hari ini.

Anggota Jawatankuasa Kampung Sungai Intan, Yusrie Yusup, berkata penduduk kampung cukup kecewa apabila projek bekalan air luar bandar (BALB) yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2013 itu gagal memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kita tahu Semporna ini mempunyai masalah bekalan air bersih sejak dahulu dan sepatutnya projek yang dibina ini boleh dinikmati penduduk Sungai Intan, Sungai Tohok sehingga ke kawasan Senallang dan Bugaya, namun apa yang dilihat projek ini tidak berfungsi meskipun telah siap dan saya harap projek ini tidak menjadi projek gajah putih sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama 30 penduduk kampung yang turut meninjau kawasan LRA Sungai Intan yang tidak berfungsi kerana kekurangan punca air.

Menurutnya, sebelum projek itu dilaksanakan satu kajian perlu dijalankan bagi memastikan kawasan tersebut bersesuaian untuk loji rawatan air dibangunkan.

Seorang lagi penduduk, Mohd Risa, 63, turut kecewa apabila projek LRA Sungai Intan yang kononnya dapat mengatasi masalah bekalan air di Semporna mulai tahun lalu itu rupanya indah khabar dari rupa kerana loji itu langsung tidak berfungsi.

“Namun saya bersyukur kerana kerajaan Sabah telah membina sebuah lagi LRA Sungai Kalumpang dan dijangka siap pada 2018 untuk memenuhi keperluan air penduduk di sini, sekali gus jika siap projek baharu ini airnya juga dapat di salurkan ke LRA Sungai Intan,” katanya sambil menambah projek Sungai Kalumpang itu dapat mengelakkan LRA Sungai Intan terus menjadi projek gajah putih.

Sejak tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban, lantang menyuarakan kekecewaan apabila projek LRA Sungai Intan bernilai RM48 juta itu tidak berfungsi ekoran kekurangan punca air dan pam hanya menyedut angin selain projek itu tidak mencapai kualiti yang sepatutnya.

Ramlee, ketika dihubungi hari ini, berkata projek itu sepatutnya dilaksanakan selepas kajian terperinci dilakukan memandangkan punca air adalah melalui sungai kecil berdekatan dan dikelilingi pokok sawit.

Sebelum ini, penduduk di Kampung Sungai Intan dimaklumkan projek LRA Sungai Intan itu dapat mengatasi masalah air di daerah berkenaan dengan menampung penggunaan 6 juta liter padu air bagi penduduk setempat. – BERNAMA

Berita Berkaitan :

Loji Air Semporna jadi projek gajah putih ?

Loading...
scroll to top