PERKONGSIAN YANG MERUGIKAN SABAH?

SMS NEWS PORTAL

Gambar Hiasan

Terimalah hakikat perkongsian Sabah dan Sarawak dengan Malaya telah merugikan kedua-dua wilayah Borneo itu. Oleh kerana Kerajaan Persekutuan berpusat di Kuala Lumpur/Putrajaya, sudah tentu  pembangunan ekonomi tertumpu  di sebelas buah negeri di Tanah Melayu.

Pan Borneo, jalan raya yang menghubungi Kota Kinabalu dan Kuching telah dijanjikan  Tunku Abdul Rahman semasa mencadangkan Gagasan Malaysia pada 1961. Pan Borneo adalah senjata ampuh memujuk Tun Stephens dan Stephens Kalong Ningkan dan pemimpin Sabah dan Sarawak yang lain untuk menyokong pembentukan Malaysia.

Dalam persetujuan awal, Tunku berjanji memberi peruntukan tunai kepada kedua negeri. Malah dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 111,112, dan 116 tertulis dengan jelas, “Negeri-negeri Borneo berhak menerima pemberian wang lebih besar daripada kerajaan Pusat. Manakala negeri-negeri dalam Tanah Melayu hanya berhak menerima wang perkapita.”

Apa jadi dengan janji Pan Borneo? Semalam menteri JKR, Datuk Seri Fadilah Yusof umum jalan raya itu akan dibina tahun depan dan dijangka siap pada 2025. Sejak janji  diumum Tunku pada 1963, manusia sudah mendarat lebih 10 kali  di permukaan bulan dan bercadang untuk sampai ke bintang Mars, namun Pan Borneo masih atas kertas.

Lihatlah rangkaian jalan keretapi di Sabah. Jalan itu adalah warisan kerajaan Penjajah British lagi. Bandingkan dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang cukup mewah dan telah berjaya menghubungi semua negeri di Tanah Melayu dengan menggunakan peruntukan daripada kerajaan Pusat. Kaya sungguh kerajaan Persekutuan? Dari manakah kekayaan mereka? Apakah sekadar dari kelapa sawit FELDA, atau ekspot getah?

Kekayaan Malaysia adalah dari sumber petroleum dan gas asli. Ia merupakan dua pertiga penyumbang hasil kekayaan negara. Menyumbang dua pertiga daripada hasil negara ialah wilayah Borneo yang kaya dengan minyak dan gas asli.

Sejak 1963 pemimpin Pusat lebih berminat mencatur politik Sabah dan Sarawak demi kelangsungan politik mereka. Jika ada dana dan peruntukan diberikan kepada kedua negeri, ia merupakan satu strategi politik, bukannya atas rasa tanggungjawab sebagai sebuah entiti Kerajaan Persekutuan yang adil dan menghormati Malaysia Agreement 1963!

Fikir-fikirkanlah….

 

Loading...
Musli Oli

Musli Oli

Penulis Politik Bebas. Saya Menulis Untuk Rakyat BUKAN Untuk Mana-mana Parti Politik. "Dilema Sabah" Buku Tulisan Untuk Memberi Kesedaran Kepada Semua.

scroll to top