Pertahan Keharmonian Agama

Tan-Sri-Musa-Haji-Aman.jpg

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman - Foto djkupang

KOTA KINABALU: Rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini diingatkan supaya terus mempertahankan keamanan dan keharmonian sebagai jaminan untuk melihat Sabah dan Malaysia mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata suasana itu hanya dapat dipertahankan jika rakyat terus bersatu, dan tidak membenarkan kepercayaan serta perasaan saling hormat menghormati yang sudah lama wujud, terhakis.

“Kita akui ada usaha pihak tertentu yang cuba mencipta keretakan hidup bermasyarakat di negeri ini. Namun, kita tidak boleh membiarkan sentimen ini menghancurkan apa yang sudah dibina oleh nenek moyang kita.

“Ia hanya merugikan jika kita membenarkan perasaan benci dan syak wasangka meresap ke dalam hati sanubari kita,” katanya dalam perutusan beliau sempena sambutan Krismas, hari ini.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, seperti perayaan lain, Krismas memberi kesempatan kepada rakyat melawat rakan dan saudara yang menyambut perayaan itu sejajar amalan kunjung-mengunjung.

Katanya, walaupun berbeza agama dan budaya, rakyat saling menerima dan menjadikan perbezaan itu sebagai penghubung sejajar budaya rakyat negeri ini yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Dalam hal berkaitan, Musa berkata perkembangan teknologi maklumat seperti media sosial sesuatu yang positif, namun rakyat harus tahu membezakan maklumat yang benar dan salah.

Katanya, ketika ini penyebaran mesej negatif dan palsu melalui pelbagai saluran media sosial berleluasa, dan akhirnya ia diterima sebagai kebenaran.

“Kita tidak boleh membenarkan agenda tersembunyi atau maklumat yang berunsur politik kotor untuk mengganggu apa yang dikecapi selama ini.

“Kita sedar ada pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup melakukan apa saja untuk menimbulkan perasaan tidak percaya dengan tujuan untuk merosakkan perpaduan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan hari ini yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan saja terus mempromosi semangat toleransi, malah penerimaan terhadap kepelbagaian bangsa dan agama.

Sementara itu, Musa turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang terpaksa bertugas ketika musim perayaan untuk menjaga dan memelihara keamanan serta kedaulatan negara.

Katanya, penubuhan ESSCOM dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi menangani ancaman keselamatan di pantai timur negeri ini bukan saja memberi keyakinan kepada rakyat, malah memastikan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan berterusan di kawasan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top