Pertahankan Kekuatan Perpaduan – KM Sabah

Pertahankan Kekuatan Perpaduan Ketua Menteri Sabah

BEAUFORT: Perpecahan yang berlaku di sesetengah negara Islam pada masa kini hendaklah dijadikan sebagai pengajaran kepada seluruh rakyat, khususnya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman berkata negara-negara yang musnah akibat sengketa mahukan semula keamanan yang sebenarnya sangat berharga.

Akibat keghairahan berpecah, mengabaikan nilai ukhwah dan menganggap enteng perpaduan ummah, maka kesan ayng diterima ialah kekacauan dan kemusnahan.

Selain itu ikatan kita dengan saudara yang tidak seagama dengan kita juga amat penting untuk terus dijaga.

“Nabi Muhammad SAW memberikan contoh yang amat baik hubungan dengan rakan yang bukan seagama dengan jaminan kebersamaan hak dan keharmonian pergaulan menerusi Piagam Madinah yang baginda zahirkan demi perpaduan hidup pelbagai kabilah dan agama.

“Sabah negeri unik yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang menjadi contoh sebenar mengenai keharmonian serta perpaduan dan inilah kekuatan yang perlu kita pertahankan.

“Justeru, usaha kerajaan mengadakan sambutan Maulidur Rasul dan mengajak umat Islam mencontohi keperibadian serta kepimpinan baginda adalah seiring dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1438H/2016M, di sini, kelmarin.

MUSA bersama para pemimpin dalam perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di Beaufort pada isnin

Musa berkata kemajuan dan kecemerlangan ummah yang ada pada hari ini tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya memerlukan transformasi minda dan tindakan, komitmen dan perancangan teliti serta usaha berterusan.

“Apa yang pasti, kejayaan pada masa hadapan bukanlah terletak kepada kekayaan sumber alam semata-mata.

“Ia bergantung pada kekayaan ilmu pengetahuan dan kualiti modal insan yang akan menjayakan pembangunan dan kemajuan,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut menyatakan akhlak dan kebijaksaan Rasulullah SAW telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya termasuk melakukan transformasi sosial, ekonomi, sistem politik dan pentadbiran untuk diteladani umat manusia.

Musa juga mahu semua rakyat di Sabah memanfaatkan sebaik- baiknya pelbagai kemudahan dan insentif yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan.

Pada majlis itu, 73 kontinjen yang melibatkan seramai 4,500 peserta berarak sepanjang 3.5 kilometer bermula dari Dataran Bagandang hingga ke Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir dengan tema ‘Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’.

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow