Pilihan Terakhir Musa

musa.jpg

KEDUDUKAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman sama ada boleh menjadi Ketua Menteri Sabah yang sah hanya dapat ditentukan melalui proses undang-undang di mahkamah.

Pensyarah Ilmu Politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman berkata, Musa perlu mendapatkan keputusan mahkamah untuk membatalkan angkat sumpah Ketua Menteri ketika ini yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, sekiranya mahkamah memutuskan Ketua Menteri yang sah, maka peranan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk menentukan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibubarkan, atau sebaliknya.

 “Ini kerana TYT (Tuan Yang Terutama) tidak mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri, Tun Juhar hanya boleh membubarkan DUN bagi mengelakkan masalah ini berlarutan. Ini memberi peluang kepada rakyat memilih semula siapa yang patut mentadbir kerajaan Sabah.

“Surat yang dikeluarkan Istana Negeri adalah pemberitahuan daripada Tun Juhar bahawa Tan Sri Musa bukan lagi Ketua Menteri, bukannya memecat bekas Ketua Menteri itu,” katanya.

Zaini berkata, dari segi moral politik, Musa seharusnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah selepas Mohd Shafie memperoleh kerusi majoriti.

“Ini sepatutnya sangat jelas, beliau (Musa) tidak mempunyai majoriti sokongan dalam DUN.

“Peletakan jawatan itu perlu berlaku berikutan ketidakpercayaan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah terhadap kepemimpinan beliau dan memberi sokongan kepada Mohd Shafie,” katanya.

LOMPAT KE WARISAN.. Jamawi Jaafar (Paling Kanan), Abidin Madingkir (dua kanan) dan Ewon Benedick (tiga kanan) bersama tiga yang lain menyertai Parti Warisan dan menyatakan sokongan kepada Shafie Apdal menyebabkan Musa tidak mempunyai majoriti sokongan dalam DUN

Beliau berkata, dalam konteks DUN Sabah, Musa tidak lagi mendapat kepercayaan untuk mengetuai kerajaan negeri selaku Ketua Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) minggu lalu, BN Sabah memperoleh 29 kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri selepas bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memiliki dua kerusi sekali gus menyaksikan Musa mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri, Khamis lalu.

Bagaimanapun, WARISAN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan apabila enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada parti berkenaan yang mana menyaksikan Mohd Shafie pula mengangkat sumpah jawatan itu, Sabtu lalu.

Istana Negeri semalam, menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Musa bagi memaklumkan pemberitahuan bahawa beliau bukan lagi Ketua Menteri Sabah. – Harian Metro

Loading...
scroll to top