Polis cabul bini rakan sekerja di kuarters Semporna

Polis-cabul-polis-penampang.jpg

SEMPORNA : Seorang anggota polis ditahan selepas didakwa mencabul isteri kepada anggota polis lain di sebuah rumah di kuarters polis di Semporna, kelmarin.

Suspek berusia 33 tahun ditahan di rumahnya di kuarters sama beberapa jam selepas mangsa membuat laporan polis.

Sumber memberitahu, wanita berusia 27 tahun itu adalah peniaga makanan secara tempahan dan sebelum kejadian itu, suspek dikatakan ada menempah makanan daripada mangsa.

“Suspek datang ke rumah mangsa kira-kira jam 11 malam untuk mengambil makanan yang ditempahnya sebelum mencabul wanita itu.

“Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua anaknya yang sedang tidur di tingkat atas,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Suspek ditahan pada hari yang sama selepas mangsa membuat laporan polis. Kita masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan cabul. – Oleh Junaidi Ladjana / myMeto Online

Loading...
scroll to top