Polis cedera dihimpit Toyota Vigo di Lahad Datu

Polis-cedera-dihimpit-Vigo-di-Lahad-Datu.jpg

Kenderaan yang menghimpit anggota polis IPD Lahad Datu

SEORANG anggota polis cedera ringan selepas dihimpit pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Kampung Desa Bajau di Lahad Datu di sini, jam 10 malam, Jumaat lalu.

Suspek berusia 29 tahun dikatakan bertindak sedemikian kerana panik dengan kehadiran anggota polis yang menjalankan Op Tapis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, operasi itu disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Kami menahan Toyota Hilux itu untuk pemeriksaan sebelum memperkenalkan diri.

Tiba-tiba, suspek mengundurkan kenderaannya menyebabkan ia bergesel dengan Perodua Kancil yang di parkir di tepi jalan.

“Seorang daripada anggota kami menghampiri Toyota Hilux terbabit dan mengarahkan suspek untuk berhenti namun lelaki itu terus memandu kenderaannya secara berbahaya.

“Pacuan empat roda itu itu kemudian merapati sebuah rumah berhampiran dan pada masa sama, ia menghimpit seorang daripada anggota kami sehingga ke pagar rumah berkenaan menyebabkannya cedera ringan,” katanya pada sidang media di IPD Lahad Datu, semalam.

Beliau berkata, suspek kemudian memecut dari lokasi.  “Dalam usaha melarikan diri, suspek turut melanggar sebuah van yang diletak di bahu jalan di kawasan berkenaan,” katanya.

Hamzah berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, suspek dapat ditahan di sebuah bengkel di Jalan Dam, Sabtu lalu.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas Toyota Hilux yang dipandu suspek.

“Hasil siasatan serta pemeriksaan, kami dapati suspek berada di bawah pengaruh dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan narkotik.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top