Polis selesai ambil keterangan Musa

Musa-Aman-2.jpg

Musa Aman

KOTA KINABALU: Polis selesai merakamkan percakapan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung kes ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Perkara itu disahkan peguam Musa, Amer Hamzah Arshad ketika dihubungi NSTP di sini hari ini, sambil memaklumkan percakapan Musa itu dirakamkan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor.

“Proses rakaman percakapan Tan Sri Musa sudah selesai… pihak polis bersikap profesional,” katanya tanpa menyebut bila rakaman percakapan Musa direkodkan.

Mengulas lanjut, Amer Hamzah berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada lagi kenyataan yang perlu direkodkan bagi membantu siasatan.

“Kita sedia beri kerjasama jika ada lagi kenyataan yang perlu diambil. Alhamdulillah keadaannya (Musa) juga baik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak pasti sama ada kertas siasatan sudah diserahkan oleh polis kepada Pejabat Peguam Negara.

Musa yang berada di London sejak pertengahan Mei lalu kerana dilaporkan mendapatkan rawatan kesihatan, kembali ke Malaysia pada 21 Ogos lalu dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Beliau masih mempunyai baki 14 hari sahaja lagi untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di hadapan Speaker DUN Sabah atau bakal kehilangan kerusi jika gagal berbuat demikian sehingga 11 September ini.

Sementara itu, sumber DUN Sabah, ketika dihubungi memberitahu, pejabat DUN belum menerima sebarang surat mengenai tarikh baharu Musa mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga.

“Belum ada lagi (tarikh baharu)… jika ada kita akan maklumkan kepada pihak media. Bagaimanapun, setakat ni belum ada maklumat baharu yang kita terima,” katanya.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis dijangka menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) semalam berhubung kes ugutan jenayah membabitkan Musa terhadap Juhar.

Loading...
scroll to top